Mohammad Hashim, Azizan terima anugerah khas Hadhari Global Award [ 4h ago ]

Berita AM


Terkesima tidak lagi bergelar wartawan atau kakitangan Utusan Malaysia

Tarikh kemaskini: 11/10/2019
KUALA LUMPUR, 10 Okt -- Dengan tiada lagi akhbar Utusan Malaysia and Kosmo diterbitkan bermula hari ini, seorang wartawan akhbar itu yang bangun pagi ini termangu-mangu kerana tidak tahu apa akan dilakukan.

Muhammad Basir Abu Bakar, 40, yang berkhidmat selama 15 tahun di syarikat akhbar itu berkata beliau terkesima kerana setiap pagi bersiap dan akan pergi ke tempat tugas seperti yang diarahkan editor.

"Biasanya saya bangun tengok WhatsApp penuh dengan jemputan program tetapi hari ini saya sedar semua itu tiada lagi.

"Semalam saya sibuk menguruskan sidang media Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) berhubung operasi syarikat dan mengagihkan bantuan makanan kepada kakitangan lain. Tidak terasa sedih sangat, tetapi pagi tadi saya bangun tidur, tiba-tiba mengalir air mata memikirkan nasib Utusan Malaysia," katanya kepada Bernama.

Selepas 80 tahun menerbitkan akhbar Utusan Melayu dan kemudiannya Utusan Malaysia, syarikat itu menghentikan operasinya dengan tiba-tiba berkuatkuasa semalam selepas mengharungi masalah kewangan yang meruncing sejak kebelakangan ini, dan semua kakitangan dihentikan dengan serta-merta, malah diarah mengosongkan pejabat pada hari yang sama.

Muhammad Basir berkata kini dia dan isteri sedang mencari pekerjaan baru dan membuat perniagaan secara kecil-kecilan menjual minyak wangi kenderaan serta menjual telur sotong.

"Apabila saya balik ke rumah selepas pengumuman penutupan Utusan Malaysia anak-anak bertanyakan kisah kenapa pejabat ayah ditutup mereka menangis dan saya hanya mampu terdiam," katanya.

Sementara itu, bekas wartawan Kosmo yang ingin dikenali sebagai Kamal berkata, isterinya sedih mengenangkan nasibnya memandangkan dia sahaja yang bekerja menyara keluarga.

“Isteri saya menangis mengenangkan semua perkara. Dengan dia sedang sarat mengandung yang bila-bila sahaja akan bersalin. Mujur ada sedikit simpanan. Kalau nak cari kerja lain, biar (saya) rehat dahulu dan nak selesaikan hal isteri dan anak yang bakal dilahirkan,” jelasnya.

Di JOHOR BAHRU, seorang bekas wartawan Kosmo telahpun membuat persiapan awal sejak sejak Mei lepas dengan membawa Grab secara sambilan setelah majikannya itu mengalami masalah kewangan yang teruk dan gagal membayar gaji untuk beberapa bulan.

Mohd Izuan Roseli, 29, yang telah berkhidmat dengan Kosmo sejak enam tahun lepas, juga tidak akan menantikan apa sahaja keputusan pada 30 Okt ini dan bercadang mahu mencari peluang kerja yang baharu secepat mungkin.

Bekas Eksekutif Pemasaran di Biro Utusan Johor Mohd Shahrul Azhar Yaacob pula berkata beliau tidak menyangka Utusan akhirnya ditutup, kerana pihak pengurusan seharusnya memberikan notis awal kepada mereka sebelum mencapai keputusan penutupan itu dibuat.

“Saya mengenangkan rakan-rakan yang lain, macam saya ada anak seorang sahaja. Bagi mereka yang ada anak ramai dan isteri pula suri rumah sepenuh masa, bagaimana,” katanya.

Di PUTRAJAYA, Hakimi Ismail berkata beliau dan rakan-rakan bekas wartawan benar-benar terkejut selepas dimaklumkan mengenai situasi itu memandangkan notis yang diberikan amat singkat, sekali gus menimbulkan rasa panik pada mereka.

Hakimi, 32, berkata situasi itu pasti sukar baginya sebagai ketua keluarga yang menggalas tanggungjawab besar terutamanya dalam menyediakan keperluan dua cahaya matanya yang kini berusia lima dan dua tahun.

Beliau yang bertugas di Utusan Malaysia Biro Putrajaya sejak 2010, bagaimanapun kekal positif untuk dapat mengisi pelbagai jawatan kosong yang diiklankan, kerana menurutnya rezeki Allah itu luas dan percaturannya adalah yang terbaik.

Seorang bekas wartawan lagi Utusan Malaysia di Biro Putrajaya, Diana Azis, yang sedang membuat liputan mengenai forum pelancongan di Korea Selatan pula hanya menerima perkhabaran mengenai penamatan operasi syarikat itu melalui memo yang dikongsi melalui aplikasi WhatsApp.

Diana, 33, yang tiba di Korea Selatan pada Selasa lepas dan dijangka pulang Isnin depan, bagaimanapun menyuarakan kebimbangan faktor usia mungkin menyukarkan beliau untuk mendapatkan pekerjaan lain.

Bagi Juani Munir Abu Bakar, 32, yang baharu sebulan melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pula berkata beliau perlu berjimat cermat menggunakan simpanan yang ada memandangkan beliau perlu meneruskan pengajiannya yang dijangka tamat pada 2021.

Beliau yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah (Usul Fiqh) Universiti Malaya, mengambil Diploma Pascasiswazah Pentadbiran Kehakiman dan Guaman Islam (DAIJ) di UKM sebagai pelan jangka panjangnya untuk menjadi peguam, hakim atau pendakwa Syarie.

"Saya juga akan mendapatkan bantuan melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan untuk menampung pengajian, saya berfikir untuk mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)," katanya.

Juani yang telah berkhidmat dengan Utusan Malaysia sejak 2010, merupakan penulis berita muka depan edisi terakhir akhbar itu yang diterbitkan semalam.

Di SEREMBAN, Azrul Edham Mohd Aminuddin, 35, yang bersama dengan Utusan Malaysia sejak 12 tahun lepas berkata, buat masa ini beliau belum memutuskan untuk mencari pekerjaan baharu memandangkan tiada sebarang keputusan muktamad lagi diberikan syarikat berhubung status pekerjaannya.

Bagaimanapun sekiranya ditakdirkan beliau tidak berpeluang berkhidmat lagi di syarikat berkenaan, Azrul merancang untuk menjadi jurugambar sambilan di majlis-majlis termasuk majlis perkahwinan berbekalkan bakat dan peralatan kamera yang dimiliknya itu.

Azrul yang mempunyai dua orang anak masing-masing berusia tiga dan enam tahun manakala isterinya bekerja sebagai guru berkata, beliau sedia maklum bahawa pengurusan syarikatnya itu memang sedang menghadapi masalah kewangan bermula dari penutupan pejabat di biro ini dan kemudiannya disusuli dengan kelewatan pembayaran gaji.

Bagi seorang lagi bekas wartawan yang enggan namanya dikenali berkata beliau kita berhadapan dengan masalah kewangan dan runsing apabila gagal membayar pinjaman perumahan, peribadi termasuk kereta sehingga dua bulan.

"Kewangan saya amat terjejas sebab sudah empat bulan gaji lewat, walaupun baru-baru ini sudah dibayar dua bulan gaji tetapi disebabkan berlakunya kelewatan pada pembayaran gaji maka bayaran rumah, kereta, pinjaman pribadi juga tertunggak selain perlu menanggung perbelanjaan keluarga," katanya.

Sementara itu, bekas pembantu tadbir Nur Ashura Abdul Majid, 25, berkata beliau sedang berusaha mencari pekerjaan baharu bagi menampung perbelanjaan harian bersama ibunya yang menjadi tanggunggannya.

Di pihak pembaca pula, ketiadaan naskhah surat khabar melayu tertua Malaysia hari ini menimbulkan kesan yang mendalam kepada pembaca setia surat khabar terbabit.

Timbul pelbagai reaksi di kalangan masyarakat yang rata-ratanya turut bersedih atas berita penutupan operasi syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Bhd yang sudah beroperasi sejak 80 tahun yang lalu atas alasan masalah kewangan.

Muhammad Nor Dolmat, 56, yang menetap di Kampung Baru di sini meluahkan rasa kecewa beliau dengan pemberhentian operasi Utusan Malaysia yang merupakan wadah utama beliau mengetahui isu semasa dalam dan luar negara.

“Saya rasa kecewa dan terkejut, sebab dah lama orang kita dapat maklumat atau info dari akhbar itu, tiba-tiba diberhentikan dan tidak diberi satu kata putus yang muktamad kepada pembaca dan staf,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau yang bekerja sebagai Pegawai Hal Ehwal Masjid Jamek Kampung Baru turut berasa janggal apabila ketiadaan surat khabar Utusan setiap pagi di masjid berkenaan.

Sementara itu, Azhari Zainal Abidin, 38, yang menetap di Setapak berasa terkejut dan mengharapkan akhbar Utusan dapat pulih seperti sedia kala.

“Semestinya terkejut, tidak sepatutnya berlaku perkara ni kerana Utusan surat khabar paling lama dan maklumat di dalamnya memang terperinci, jadi saya memang tidak setuju langsung. Kalau pihak kerajaan boleh (membantu) teruskan surat akhbar Utusan ini, baik diteruskanlah. Saya tak setuju langsung operasi ini ditutup,” katanya.

Dalam pada itu, pekerja sebuah kedai serbaneka di Kampung Baru yang hanya mahu dikenali sebagai Nur Syahirah, 25, berkata awal pagi terdapat pelanggan tetap surat khabar Utusan Malaysia dan Kosmo yang bertanyakan akhbar terbabit namun pulang hampa.

Beliau yang juga pembaca setia dan membesar bersama Utusan berkata antara memori beliau termasuklah membaca ruangan iklan kerja kosong dan slot ‘Senyum Kambing’ di muka hadapan akhbar berkenaan.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu