Mohammad Hashim, Azizan terima anugerah khas Hadhari Global Award [ 4h ago ]

Berita AM


Taklimat isu semasa beri kesedaran bahaya aktivis sosial

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
KOTA BHARU, 10 Okt -- Rata-rata peserta Program Taklimat Isu-isu Semasa Peringkat Zon Timur 2019 hari ini berpuas hati dengan maklumat yang diperoleh mengenai bahaya media sosial terutama gerakan antivaksin kepada masyarakat, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023.

Mereka yang hadir di Pejabat Pendidikan Negeri Kelantan di Tunjung, di sini, melahirkan rasa gembira dengan penerangan secara bersemuka ini yang mampu mengurangkan pendapat negatif terutama suntikan vaksin yang didakwa mempunyai kandungan tidak halal dari babi.

Taklimat itu dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Shakib Ahmad Shakir dan majlis penerangan disampaikan pegawai Jabatan Kesihatan Negeri, Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Kelantan.

Maznah Kamaludin, 30, menyifatkan penerangan yang diberikan amat berfaedah dan dapat dijadikan panduan semasa memberi penerangan kepada keluarga khususnya serta orang ramai terutama berkaitan isu-isu semasa terutama membabitkan kesihatan.

“Saya kini lebih faham dengan kepentingan suntikan itu kepada masyarakat terutama apabila ia membabitkan penyakit berjangkit yang diakibatkan oleh kegagalan menerima suntikan termasuk vaksin tiga serangkai untuk bayi dan kanak-kanak.

“Kita sebagai ibu bapa perlu menjadi lebih terbuka dengan arahan kesihatan yang diberikan dan kerana kedegilan kita untuk memberi suntikan kepada anak-anak yang baru dilahirkan, mereka lebih terdedah kepada penyakit berjangkit yang membawa maut termasuk demam campak, beguk dan penyakit polio,” katanya.

Mysa Haroon, 45, pula berkata penerangan mengenai projek ECRL memberi idea kepada beliau untuk membabitkan diri dalam bidang perkhimatan penyediaan makanan bagi petugas pemasangan rel keretapi yang kesuntukan masa untuk keluar mencari makanan semasa bekerja.

“Sungguhpun pekerja rel tidak lama di sesebuah lokasi, penghantaran makanan boleh diaturkan dengan mudah,” katanya sambil menambah peranan penyediaan makanan itu bukan sahaja boleh menambah pendapatan keluarga tapi juga satu ibadah kerana membantu golongan pekerja mendapat makanan dari sumber yang bersih.

Sependapat dengan Mysa, Alia Zulkifli, 28, berkata penerangan singkat mengenai projek rel keretapi membaiki persepsinya mengenai projek mega itu yang sebelum ini disifatkan kurang berfaedah kepada golongan biasa sepertinya.

“Saya dapat rasakan tindakan kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah satu tindakan tepat di samping menambah pilihan pengangkutan dari Pantai Timur ke ibu negara yang selama ini mengambil masa lama untuk sampai ke destinasi.

“Bagaimanapun, kami golongan B40 amat berharap tambang kereta api ini tidak mahal dan mampu dibeli rakyat berpendapatan rendah,” katanya yang tidak sabar untuk melihat projek mega itu dimulakan.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu