Mohammad Hashim, Azizan terima anugerah khas Hadhari Global Award [ 4h ago ]

Berita AM


Pelantikan KP, Pengerusi NAFCC dirujuk Parlimen terlebih dahulu - Liew Vui Keong

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
Datuk Liew Vui Keong
KUALA LUMPUR, 10 Okt -- Pelantikan jawatan Ketua Pengarah dan Pengerusi Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NAFCC) akan dirujuk terlebih dahulu ke Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) sebelum keputusan terakhir dibuat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong berkata proses itu akan dilakukan sebagaimana pelantikan utama Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

“Begitu juga dengan proses pelantikan (NAFCC), kini ia perlu melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Jadi saya akan rujuk pelantikan pengarah (dan pengerusi) kepada SPA… tak perlu bagi kita membuat pindaan rang undang-undang khusus bagi kes ini.

“Ini amalan (di mana) boleh dapatkan kelulusan daripada kabinet,” katanya dalam satu persidangan media selepas membentangkan Rang Undang-Undang NAFCC 2019 untuk bacaan kedua pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Liew berkata kerajaan akan menimbangkan cadangan untuk NAFCC melaporkan sebarang perkara berhubung dengan pencegahan jenayah kewangan terus kepada Parlimen atau Yang di-Pertuan Agong.

Ini kerana, menurut Fasal 5 rang undang-undang itu, penubuhan Lembaga Penasihat, keanggotaannya dan pertimbangan oleh Perdana Menteri sebelum menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai pelantikan pengerusi lembaga penasihat.

Liew, sewaktu menggulung perbahasan menjelaskan kerajaan telah mengenal pasti mekanisme secukupnya bagi menjaga kerahsiaan dan melindungi pemberi maklumat dalam data berpusat NAFCC.

“Fasal 15 memperuntukkan data yang terkandung dalam sistem data berpusat akan hanya boleh diguna untuk tujuan merancang dan menyelaras opoerasi bersepadu dan bagi mencegah jenayah kewangan.

“Fasal 18 pula memperuntukkan obligasi kerahsiaan kepada semua kakitangan NAFCC yang mempunyai akses kepada maklumat itu,” katanya.

NAFCC, satu daripada inisiatif di bawah Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 (NACP), akan bertindak sebagai pasukan petugas apabila semua agensi berkaitan akan bertugas di satu tempat dan menyelaraskan usaha ke arah mencegah aktiviti jenayah.

NAFCC, akan terdiri daripada beberapa agensi seperti Kastam Diraja Malaysia (KDM), Jabatan Imigresen, Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Negara (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed sebelum ini dilaporkan berkata NAFCC ditubuhkan dalam usaha menangani isu pengaliran keluar wang secara haram.

Rang undang-undang itu kemudiannya diluluskan dengan suara majoriti di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Arif Md Yusof.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok dengan pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu