SOJC: Malaysia kalahkan Jepun, akan betemu lagi untuk tempat ketiga, keempat [ 5h ago ]

Berita AM


Syarikat swasta di Negeri Sembilan disaran sertai kursus keibubapaan LPPKN di bawah HRDF

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
Nicole Tan Lee Koon
SEREMBAN, 10 Okt -- Syarikat swasta di Negeri Sembilan disaran untuk merebut peluang menyertai kursus keibubapaan anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di bawah pembiayaan Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri Nicole Tan Lee Koon berkata syarikat yang berdaftar dengan HRDF perlu mengambil peluang ini kerana tawaran hanya terbuka kepada 500 orang pekerja syarikat terawal yang mendaftar di bawah kursus keibubapaan Keluarga@Kerja (Parenting@Work) anjuran LPPKN.

"Bayaran kursus bagi setiap peserta adalah RM125 di mana RM100 akan dibiayai oleh HRDF dan RM25 akan ditolak daripada levi syarikat. Pekerja bukan sahaja mendapat latihan malahan turut diberikan pakej saringan kesihatan manakala pemeriksaan klinikal payudara dan ujian pap smear diberikan kepada peserta wanita dan pasangan bagi peserta lelaki.

“Sebarang pertanyaan mengenai program Keluarga@Kerja boleh diajukan kepada LPKKN Negeri Sembilan dengan menelefon 06-6014440," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Insentif Keluarga@Kerja kepada syarikat swasta yang berdaftar di bawah HRDF yang bertujuan menggalakkan syarikat swasta mengikuti kursus keibubapaan telah dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 13 Julai lepas.

Sementara itu, Nicole berkata LPPKN dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan menganjurkan Seminar 'On Marital and Sexuality Counseling' (MASEC) 2019 di LPPKN Negeri Sembilan, Seremban 2 di sini pada 22 hingga 23 Okt ini.

Katanya objektif program ini adalah untuk memberi pengetahuan dalam isu berkaitan perkahwinan dan keluarga, kepentingan pengetahuan dalam perkahwinan dan keluarga serta kemahiran ibu bapa terkini kepada pengamal profesional yang menjalankan sesi kaunseling perkahwinan dan keluarga.

"Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman facebook: Masec USIM dan Instagram: masec2019," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu