SOJC: Malaysia kalahkan Jepun, akan betemu lagi untuk tempat ketiga, keempat [ 4h ago ]

Berita AM


Projek naiktaraf tiga jeti nelayan di kawasan Tanjung Piai

Tarikh kemaskini: 10/10/2019
PONTIAN, 10 Okt -- Projek menaiktaraf tiga jeti nelayan di kawasan Parlimen Tanjung Piai, dekat sini, yang peruntukannya telah diluluskan baru-baru ini dijangka bermula tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri Tosrin Jarvanthi berkata ketiga-tiga jeti nelayan itu ialah Jeti Nelayan Parit Penghulu dan Jeti Nelayan Sungai Boh, kedua-duanya dalam Mukim Serkat dan Jeti Nelayan Jeram Batu di Pekan Nanas.

Kerja-kerja naiktaraf itu termasuk pembinaan laluan pejalan kaki, pembinaan bangunan keselamatan, surau, bengkel dan kedai makan di tapak jeti.

“Kita (kerajaan Pakatan Harapan) berpegang pada janji, kita akan terus membela nasib dan kepentingan nelayan di seluruh negara termasuk kawasan Tanjung Piai,” kata beliau ketika ditemui di Jeti Nelayan Parit Penghulu, di sini.

Beliau berkata projek berkenaan yang berada di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri akan dibuka tender akhir tahun ini.

“Kita jangka kerja-kerja naiktaraf akan ambil masa enam bulan untuk disiapkan dan kitajuga jangka lebih 300 nelayan akan menerima faedah selepas naiktaraf siap,” katanya.

Beliau berkata ia merupakan kesinambungan projek yang diperjuangkan Ahli Parlimen Tanjung Piai Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik yang meninggal dunia pada 21 Sept lalu.

-- BERNAMA



       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu