Guna kamera badan pastikan anggota laksana tugas dengan telus - KPN [ 5h ago ]

Berita AM


PPM selamat tiga lelaki Indonesia, kapal rosak, hanyut ke Pulau Sipadan

Tarikh kemaskini: 12/09/2019
SEMPORNA, 11 Sept -- Sebuah kapal penarik udang dari Indonesia bersama tiga anak kapal dihanyutkan dari Muara Nunukan, Indonesia ke perairan Pulau Sipadan dekat sini, semalam selepas kapal berkenaan mengalami kerosakan.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata kesemua mangsa yang berasal dari Tarakan, Indonesia itu diselamatkan polis marin yang menerima maklumat kejadian pada 7.30 pagi hari yang sama, daripada Taman Taman Sabah serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengesan kapal itu dalam keadaan mencurigakan.

"Siasatan awal mendapati kapal bersama tiga kru kapal daripada Indonesia hanyut ke perairan Malaysia selepas kapal mereka jenis pukat tunda iaitu kapal menarik udang, rosak di bahagian enjin sewaktu di kawasan Muara Nunukan.

Semasa kesemua mangsa membaiki enjin berkenaan, berlaku ombak besar menyebabkan kapal mereka dihanyutkan sehingga ke Pulau Sipadan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini

Menurut Mohamad Pajeri, kapal dinaiki kesemua mangsa dalam perjalanan ke Sungai Nyamuk, Indonesia ketika kejadian berlaku.

Dalam pada itu, beliau berkata pemeriksaan kapal oleh anggotanya tidak menemukan barang yang menyalahi undang-undang.

"Namun kesemua suspek ditahan bersama kapal di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Semporna untuk siasatan lanjut," katanya lagi.

Menurut Mohamad Pajeri, ekoran kejadian itu perkara itu turut dilaporkan kepada Pejabat Konsulat Republik Indonesia di Tawau

--BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu