Berita AM


Rakyat Pahang zahir sembah tahniah, gembira pelantikan Sultan Abdullah

Tarikh kemaskini: 12/01/2019
Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah
PEKAN, 12 Jan (Bernama) -- Rakyat negeri Pahang menzahirkan sembah tahniah kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang dilantik menjadi Sultan Pahang keenam menggantikan ayahanda baginda Sultan Ahmad Shah.

Penduduk di Pekan, Azahani Mahmud, 49, berkata pelantikan Sultan Abdullah disifatkan mewarisi legasi kepimpinan ayahanda baginda yang selama ini cukup disenangi oleh rakyat jelata kerana perwatakan baginda yang prihatin dengan kebajikan rakyat.

"Sejak menjadi Tengku Mahkota seawal usia 16 tahun lagi dan kemudiannya sebagai Pemangku Raja Pahang, rakyat jelata memang senang hati dan bersyukur kerana dikurniakan anak raja yang berjiwa rakyat dan kuat beragama.

"Baginda tidak canggung untuk bersama rakyat setiap kali berlaku bencana termasuk banjir, ribut dan kes lemas. Sultan Abdullah juga tidak lokek untuk menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban rakyat yang dilanda kesusahan,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Sultan Abdullah hari ini diumumkan oleh Tengku Muda Pahang menjadi Sultan Pahang yang baharu bagi negeri ini dan kawasan jajahannya setelah Sultan Ahmad Shah dilaporkan berada dalam keadaan gering.

Bagi bekas pelayan istana, Abas Daud, 76, pemasyuran sebagai Sultan Pahang baharu sememangnya ditunggu rakyat setelah lama baginda memegang jawatan sebagai Pemangku Raja Pahang, yakni sejak 28 Dis 2016.

"Rakyat Pahang mengetahui ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’ sentiasa menjadi pegangan Sultan Ahmad Shah semasa sihat dan ciri-ciri itu diteruskan oleh anakanda baginda.

“Sultan Abdullah juga menerapkan sifat yang sama di kalangan anakanda putera dan puteri baginda apabila turut membawa mereka melawat dan menghulur bantuan kepada mangsa bencana, sekali gus menyebabkan mereka tidak kekok bila bersama rakyat,”katanya.

Baginda juga disifatkan sebagai seorang pemurah serta suka menderma kepada rakyat dan ini dibuktikan apabila Sultan Abdullah menjadikan amalan memberi sumbangan kepada kanak-kanak setiap kali selesai menunaikan solat Jumaat.

Sementara itu seorang pengamal media Siti Salwa Shaari, 34, pula menyifatkan Sultan Abdullah sebagai Sultan yang memahami tugasan media dan tidak lokek untuk menegur pengamal media terlebih dahulu jika bertemu semasa membuat liputan majlis yang dihadiri baginda.

“Ada masanya baginda akan bertanya terlebih dahulu jika ada isu yang hendak disoal oleh media.. Baginda juga sering membahasakan diri sebagai ‘saya’ jika menjawab soalan yang diajukan atau semasa bertemu dengan rakyat.

“Walaupun ada masa soalan yang diajukan agak sensitif seperti isu jawatan dalam Persekutuan Bola Sepak Malaysia, baginda akan tetap tersenyum dan mendengar soalan yang diajukan sebelum memberi jawapan,” katanya.

Sultan Abdullah juga tidak pernah mengecewakan permintaan rakyat dan pengamal media setiap kali diajak bergambar atau berswafoto untuk dijadikan kenangan.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu