malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

BERITA AM


Hidupkan semula projek kereta Malaysia-Indonesia - Dr Mahathir

Tarikh kemaskini: 29/06/2018
 

Oleh Mohd Shukri Ishak

JAKARTA, 29 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan kemungkinan untuk menghidupkan semula projek kereta Malaysia-Indonesia untuk pasaran ASEAN.

Dr Mahathir berkata idea itu pernah diketengahkannya pada Februari 2015 semasa memandu uji sebuah kereta Proton dengan Presiden Indonesia Joko Widodo duduk di bahagian penumpang hadapan.

"Ketika itu, saya bukan lagi Perdana Menteri dan saya memandu 180 kilometer sejam di litar uji Sepang.

"Bapak Presiden (Jokowi) tidak merungut apa-apa (ketika kereta itu dipandu laju)," kata beliau dalam sidang media bersama-sama Jokowi di sini, hari ini.

Sebelum itu, Jokowi ketika mengimbau pengalaman itu, berkata beliau tidak bimbang kerana yang memandu adalah Dr Mahathir.

"Saya tidak takut kerana pemandunya ialah Pak Mahathir," katanya.

Dr Mahathir dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Indonesia, negara pertama Asia Tenggara yang dikunjunginya selepas menyandang jawatan Perdana Menteri susulan kemenangan menakjubkan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum Mei lepas.

Beliau akan pulang ke Kuala Lumpur petang ini.

Bercakap kepada pemberita Malaysia sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur, Dr Mahathir berkata Jokowi telah memberikan respons yang baik berhubung projek kereta Malaysia dan Indonesia itu.

Dr Mahathir berkata sudah ada syarikat swasta dari kedua-dua negara yang berminat berhubung projek itu.

Beliau berkata cadangan projek itu sebelum ini tidak diberi perhatian dan berlaku sekatan (halangan) daripada kerajaan sebelum ini.

-- BERNAMA

 
 
 

       Berita Utama Terdahulu