BERNAMA.com - Kerajaan akan capai matlamat tanpa tingkat kos pentadbiran negara - Dr Mahathir
malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

BERITA AM


Kerajaan akan capai matlamat tanpa tingkat kos pentadbiran negara - Dr Mahathir

Tarikh kemaskini: 21/05/2018
 

PUTRAJAYA, 21 Mei (Bernama) -- Kerajaan tidak akan menambah pegawai atau menubuhkan institusi baharu untuk mencapai matlamat negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata sebaliknya, institusi sedia ada akan digunakan sepenuhnya dengan lebih efisien tanpa meningkatkan kos negara.

"Kita yakin dengan ilmu pengetahuan yang ada pada pentadbir sendiri dan kerajaan yang telah dipilih sendiri oleh rakyat, kita boleh membuat perubahan dengan tidak meningkatkan kos pentadbiran negara," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Putra, di sini hari ini.

Ini adalah perjumpaan pertama Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan dengan warga JPM selepas dilantik sebagai perdana menteri ketujuh pada 10 Mei lalu, susulan kemenangan pakatan itu pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Perdana Menteri berkata pelbagai perubahan dalam pentadbiran akan dilaksanakan namun ia hanya akan dilakukan setelah dikaji secara mendalam memandangkan maklumat yang ada ketika ini belum mencukupi.

Dr Mahathir berkata Malaysia mampu menghadapi pelbagai cabaran jika terus berpegang pada prinsip-prinsip pentadbiran demokrasi.

"Kita boleh lawan seluruh dunia dan ini telah kita buktikan apabila mata wang kita diserang (krisis kewangan 1997/1998), kita dapat hadapi masalah yang besar ini kerana kita bekerja ke satu arah sahaja (iaitu) untuk mempertahankan negara kita," katanya.

Katanya Malaysia juga berjaya diubah daripada negara pertanian kepada negara perindustrian tanpa timbul banyak masalah besar.

Bagaimanapun kata beliau selaku negara perindustrian, Malaysia memerlukan pentadbir yang mempunyai pengetahuan luas bagi menangani permintaan-permintaan berasaskan teknologi baharu yang tinggi.

"Jika kita tidak faham teknologi ini maka kita tidak dapat memberi perkhidmatan kepada pelabur-pelabur. Sebab itu kita perlu meningkatkan keupayaan dan ilmu pentadbir-pentadbir khususnya di JPM," kata Dr Mahathir.

-- BERNAMA

 
 
 

       Berita Utama Terdahulu