BERNAMA.com - Bomba lakukan penerbangan ihsan hantar kanak-kanak Orang Asli ke hospital
malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

BERITA AM


Bomba lakukan penerbangan ihsan hantar kanak-kanak Orang Asli ke hospital

Tarikh kemaskini: 20/05/2018
 
GUA MUSANG, 20 Mei (Bernama) -- Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu membawa keluar seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli yang demam panas kritikal di Kampung Tembaga, Pos Gob di pedalaman jajahan ini untuk menerima rawatan di Hospital Gua Musang di sini, hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM, Pangkalan Udara Subang, Selangor, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Farhan Marzuki berkata sebuah helikopter jenis Agusta AW139 digunakan untuk mengambil Delia Asmi, 3, di kampung berkenaan untuk diterbangkan ke Hospital Gua Musang.

"Helikopter dari Pangkalan Udara Bertam, Pulau Pinang mendarat di kampung itu pada pukul 2.30 petang sebelum membawa kanak-kanak itu ke perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang dan terus dihantar ke hospital menggunakan ambulans," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Farhan berkata krew penerbangan itu diketuai juruterbang Kapten Leong Cheong Meng dan dibantu juruterbang Timbalan Penguasa Bomba, Shahrizal Sahari.

Beliau berkata penerbangan ihsan itu dilakukan sebaik menerima permohonan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk membantu membawa keluar kanak-kanak berkenaan berikutan kesukaran laluan darat.....

 
 
 

       Berita Utama Terdahulu