D' Naly Herbs Garden Tamparuli, taman herba untuk wanita [ 16m ago ]

Berita AM


SPRM akan laksanakan fasa ketiga kutipan dana 1MDB

Tarikh kemaskini: 12/10/2019
KAJANG, 12 Okt -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melaksanakan fasa ketiga kutipan semula dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada penerima-penerimanya, kata Ketua Pesuruhjayanya Latheefa Koya.

Tanpa mendedahkan tarikhnya, Latheefa berkata fasa ketiga kutipan semula dana 1MDB yang diberi sewaktu di bawah pimpinan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu akan melibatkan jumlah RM500,000 dan ke bawah.

"SPRM akan ke fasa ketiga bagi mengutip semula wang 1MDB daripada penerimanya yang berjumlah RM500,000 ke bawah.

"Fasa pertama sebelum ini menyaksikan pelucutan hak sivil difailkan ke atas penerima dana berkenaan yang mana wang itu masih dalam akaun mereka yang kemudiannya kami bekukan,'’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Program Menembak SPRM bersama media sempena ulang tahun SPRM ke-52 di Lapang Sasar Maktab Penjara Malaysia Kajang.

"Fasa kedua bermula apabila kami meminta penerima dana supaya menjelaskan semula bayaran tersebut. Kami akan pergi kepada penerima amaun besar dahulu untuk tampil ke hadapan," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai status siasatan terhadap Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin, yang juga bekas Ketua Puteri UMNO yang didakwa turut menerima dana 1MDB, Latheefa mengulangi kenyataannya bahawa senarai yang dikeluarkan SPRM adalah senarai awal, bukan senarai penuh dan tidak muktamad.

"Ada beratus individu menerima dana 1MDB tapi (buat masa ini) kami menyenarai pendek penerima jumlah besar iaitu RM500,000 ke atas yang mana melibatkan 80 individu dan entiti.

"Ia bukan isu selektif (nama Mas Ermieyati tertinggal) atau kepentingan politik tapi senarai itu adalah berdasarkan pemotongan amaun dan kami pergi kepada amaun besar dulu," katanya.

Isnin lepas, SPRM telah mengeluarkan notis kompaun kepada 80 individu dan entiti yang menerima wang berjumlah RM420 juta, dipercayai daripada 1MDB, dengan Solar Shine Sdn Bhd merupakan entiti yang menerima jumlah wang tertinggi sebanyak RM134 juta manakala bagi individu, Datuk Seri Nazir Tun Razak yang merupakan bekas Pengerusi CIMB yang menerima RM25.7 juta.

Sehubungan itu, mereka yang menerima kompaun di bawah Seksyen 92(1) Akta Anti Pengubahan Wang Haram dan Anti Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) itu diberikan tempoh dua minggu untuk memulangkan wang berkenaan.

Mengulas kenyataan Nazir bahawa beliau akan memberi kerjasama yang penuh kepada SPRM, Latheefa enggan mendedahkan sebarang butiran terperinci mengenainya.

"Ya, kami akan tunggu beliau (Nazir) untuk dia berkongsi maklumat tetapi kami tidak boleh menyatakan butiran lanjut mengenainya buat masa sekarang. Lagipun terpulang kepada individu dan entiti berkenaan tentang bagaimana mereka akan selesaikan bayaran itu kepada SPRM sama ada bayar segera atau tunggu sehingga hujung tempoh masa dua minggu," katanya.

Latheefa berkata pihaknya tidak dapat memberi sebarang maklumat lanjut berkenaan kes-kes berkaitan tetapi notis kompaun telah diserahkan kepada individu dan wakil entiti yang terlibat.

"SPRM memberi tempoh dua minggu kepada mereka dari tarikh serahan dan terpulang kepada mereka sama ada nak buat rayuan atau memohon masa yang lebih untuk membuat bayaran balik,” katanya.

-- BERNAMA



        Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu