Mohammad Hashim, Azizan terima anugerah khas Hadhari Global Award [ 5h ago ]

Berita AM


Ada orang dalam UMNO iri hati tentang hubungan Jho Low dengan Najib - saksi

Tarikh kemaskini: 07/10/2019
Shahrol Azral Ibrahim Halmi
KUALA LUMPUR, 7 Okt -- Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa ada orang dalam UMNO yang mempunyai "perasaan dengki" terhadap pengaruh dan akses Low Taek Jho atau Jho Low kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata Jho Low mahu penglibatannya dalam 1MDB tidak menonjol supaya tidak menggugat kedudukan Najib dalam UMNO.

Shahrol Azral, 49,berkata Jho Low memberitahunya bahawa penglibatannya dari tahun 2009 hingga 2011 perlu tidak menonjol kerana banyak orang dalam Umno cemburu terhadap akses Jho Low kepada Najib.

Saksi kesembilan pendakwaan itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib pada hari ke-17 perbicaraan bekas perdana menteri itu berhubung dana 1MDB.

Muhammad Shafee: Dalam DCR (Resolusi Pekeliling Pengarah 1MDB) Anda dan Datuk Ismee Ismail (bekasahli lembaga pengarah 1MDB) secara terbuka melantik Jho Low sebagai penasihat syarikat. Ini bermakna tiada masalah mengenai imej Jho Low tidak dapat ditunjukkan. Tidak ada masalah seperti itu

Shahrol Azral: Ya.

Muhammad Shafee : Bila dia menimbulkan masalah

Shahrol Azral: Ini adalah pemerhatian saya. Beliau mula menjadi masalah apabila Datuk Seri Najib menjadi pemegang saham tunggal dan pemegang kepentingan dalam 1MDB.

Dan saya dapat mengagak banyak perasaan dengki dari orang dalam UMNO berhubung pengaruh dan akses Jho Low kepada Datuk Seri Najib. Jadi, itu munasabah apabila Jho Low memaklumkan kepada saya bahawa penglibatannya perlu tidak menonjol supaya tidak menggugatkan kedudukan Datuk Seri Najib dalam UMNO. Itulah perancangan dari 2010 dan seterusnya saya menerima penjelasannya.

Ketika ditanya oleh Muhammad Shafee mengenai penglibatan Jho Low dalam 1MDB, saksi itu berkata dari 2009 hingga 2011, tidak ramai yang tahu bahawa Jho Low memainkan peranan utama dalam hubungan Najib dengan Arab Saudi, Abu Dhabi, dan juga dengan China ketika itu.

Beliau berkata dalam tempoh itu (2009 hingga 2011) Jho Low memainkan peranan besar dalam hubungan Najib dengan Arab Saudi, Abu Dhabi dan China

Saksi tersebut juga bersetuju dengan cadangan peguam bahawa dia yakin bahawa Jho Low adalah orang yang telah membuka peluang di ketiga-tiga negara tersebut.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah wang yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-- BERNAMA





        Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu