BERNAMA › NEWS




Program Kampung Angkat Dipantau Setiap Tiga Bulan Berbanding Tahunan


Last update: 14/02/2018

BANDAR BAHARU, 14 Feb (Bernama) -- Pemantauan dan laporan berkala setiap tiga bulan sekali akan menjadi intipati terbaharu dalam Program Kampung Angkat dan MyIndah, sebagai usaha menangani jenayah di kawasan kampung di negeri ini.

Ketua Polis Kedah Datuk Zainal Abidin Kasim berkata perkara itu antara penambahbaikan yang akan dilakukan, dan pihaknya tidak perlu menunggu sehingga hujung tahun untuk menerima laporan di kawasan terpilih.

"Saya tidak mahu tunggu sampai hujung tahun baru nak terima laporan kerana ia tidak praktikal untuk kita ambil apa-apa tindakan yang dirasakan perlu. Ini kerana, kita sentiasa perlukan maklumat terkini untuk menangani jenayah di kawasan tersebut," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas program 'High-Profile Policing (HPP)' bersama ketua jabatan, pihak sekolah, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung serta masyarakat setempat di Ibu Pejabat Polis Daerah Bandar Baharu hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Barudin Wariso dan Anggota Dewan Undangan Negeri Bandar Baharu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia Kedah, Datuk Norsabrina Mohd Noor.....