BERNAMA › NEWS




Pengutip Barang Lusuh Anggota Kongsi Gelap Dipenjara Tiga Bulan


Last update: 14/02/2018

PETALING JAYA, 14 Feb (Bernama) -- Seorang pengutip barang lusuh yang menganggotai kongsi gelap 'Geng 08', dan mempunyai tatu angka 8 di lehernya, hari ini dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman itu terhadap R. Gunaseelan, 23, selepas dia mengaku bersalah menganggotai satu pertubuhan yang menyalahi undang-undang iaitu kongsi gelap 'Geng 08'

dan memerintahkan bapa dua anak itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 11 Feb lepas.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Nor Ariffin berkata kes-kes berkaitan dengan kongsi gelap semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini dan sering kali dibahas di media massa dan media sosial.

"Aktiviti yang dilakukan geng kongsi gelap ini dapat mendatangkan kegusaran dan ketakutan kepada masyarakat awam,

Mahkamah memandang berat kes berkaitan kongsi gelap ini kerana ia melibatkan sentimen orang awam dan diharap hukuman ini dapat memberi mesej bahawa menganggotai geng kongsi gelap adalah salah," kata majistret itu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu tepi jalan masuk ke Puchong Hartamas, Bukit Puchong, di sini, pada 5.50 petang, 11 Feb lalu mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda yang boleh sampai RM5,000 atau kedua-duanya.....