BERNAMA › NEWS




Pasukan Menyelamat Masih Dalam Perjalanan Keluarkan Pendaki Gunung Nuang


Last update: 14/01/2018

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Pasukan Mencari dan Menyelamat masih berusaha untuk membawa keluar seorang mangsa yang dikhuatiri maut selepas dipercayai tertimbus akibat runtuhan tanah di puncak Gunung Nuang, Hulu Langat dekat sini tengah hari tadi.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Alimaddia Bukri berkata mangsa dikenali sebagai Azlan Yahya, 47, yang bersama dengan pendaki lain dipercayai tergelincir dari tebing puncak gunung itu ke dalam gaung dengan kedalaman 100 meter sebelum tertimbus dengan runtuhan tanah.

Perjalanan pasukan menyelamat ke puncak Gunung Nuang memakan masa antara lima hingga enam jam dan mereka bertolak pada pukul 3.10 petang tadi serta tiba ke Kem Lolo pada pukul 6.40 petang tadi dan meneruskan perjalanan ke puncak gunung itu, katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Pasukan penyelamat yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia menerima panggilan pada 1.30 tengah hari tadi dan telah naik ke puncak pada 3.10 petang untuk mengeluarkan mangsa.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dalam kenyataan awal berkata berdasarkan maklumat diterima daripada rakan mangsa mengatakan pendaki itu telah meninggal dunia.

-- BERNAMA