BERNAMA › NEWS




Persija Jakarta Bermula Cemerlang, Tewaskan Ratchaburi 3-1


Last update: 14/01/2018

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Kelab bola sepak Indonesia, Persija Jakarta memulakan kempen Piala Super Boost Sportsfix dengan langkah kanan apabila mengalahkan wakil Thailand, Ratchaburi Mitr Phol FC, 3-1, pada perlawanan pembukaan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam ini.

Juara Liga Amatur Indonesia (Perserikatan) sebanyak sembilan kali itu hanya mengambil masa lapan minit untuk membuka tirai jaringan menerusi bekas pemain import Melaka United, Marko Simic dari Croatia.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Ratchaburi kembali memperkemaskan jentera serangan dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-28 menerusi jaringan pemain pertahanan Thailand kelahiran Jerman, Philip Roller.

Bagaimanapun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Jaimerson da Silva Xavier menjaringkan gol kedua pada minit ke-38 untuk membolehkan Persija Jakarta mendahului 2-1 pada babak pertama perlawanan.

Sebaik sahaja perlawanan disambung, Persija Jakarta kembali menggandakan asakan dan berjaya meraih gol ketiga menerusi bekas pemain kebangsaan bawah 23 tahun Indonesia, Novri Setiawan pada minit ke-53 dan keputusan itu kekal sehingga perlawanan tamat.....