BERNAMA › NEWS




Program Kebudayaan Etnik Wajar Diperbanyak


Last update: 13/01/2018

KOTA KINABALU, 13 Jan (Bernama) -- Program kesenian dan kebudayaan sesebuah etnik wajar diperbanyak, khususnya di bandar besar, bagi menonjolkan keunikan etnik itu yang semakin mendapat perhatian masyarakat umum.

Setiausaha Politik kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Baharul Sawi berkata langkah itu juga akan menarik lebih ramai pelancong untuk mengenali suku kaum yang terdapat di negara ini.

"Kalau dahulu, menjadi kelaziman sesuatu masyarakat etnik itu menghasilkan pakaian dan alat untuk kegunaan seharian dengan ciri-ciri kebudayaan tersendiri."

"Kini, ramai yang tampil untuk memelihara hasil masyarakat dahulu dan ini harus ditonjolkan kepada masyarakat umum," katanya ketika merasmikan Pertandingan Ratu Etnik Bajau, di sini hari ini, sebagai mewakili Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Di samping itu, Baharul berkata program seumpama juga boleh mendedahkan generasi muda untuk mengenali dan memahami asal-usul mereka, sekali gus memupuk semangat memelihara budaya masing-masing agar tidak ditelan zaman.

-- BERNAMA