BERNAMA › NEWS




Jerez Jadi Litar Ujian Pertama Bagi Adam, Hafizh


Last update: 13/01/2018

SEPANG, 13 Jan (Bernama) -- Litar Jerez yang terletak di selatan Sepanyol, bakal menjadi destinasi ujian pertama bagi pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah dan pelumba Moto3, Adam Norrodin sebelum memulakan saingan kejuaraan dunia musim 2018 di Losail, Qatar, dari 15 hingga 18 Mac depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali berkata, kedua-dua pelumba itu bakal menguji jentera masing-masing pada ujian rasmi di litar berkenaan pada 27 Jan ini, sebelum pulang ke Malaysia untuk ujian persendirian bersama pasukan di Sepang bermula dari 16 hingga 18 Feb depan.

Pelumba berusia 19 tahun Adam, yang mewakili pasukan Petronas SIC Racing bersama pelumba Jepun, Ayumu Sasaki akan menggunakan jentera Honda, manakala Hafizh Syahrin yang mewakili pasukan SIC Racing akan menunggang jentera Kalex. Kedua-dua pasukan itu dikendalikan oleh SIC.

"Adam sudah berada di Barcelona sejak lebih dua minggu yang lalu, manakala Hafizh yang baharu melangsungkan perkahwinan bulan lalu, akan bertolak dalam tiga hari lagi."

"Mereka akan mengharungi persediaan rapi untuk meningkatkan tahap kecergasan mereka, termasuk aktiviti fizikal seperti berbasikal, larian, motocross dan latihan gim(nasium) sebelum ujian rasmi hujung bulan ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sesi ujian program Impian ke MotoGP di Litar Kart Antarabangsa Sepang di sini, hari ini.

Ditanya mengenai penaja bagi Hafizh Syahrin selepas Petronas tidak menyambung penajaan bagi pelumba berusia 23 tahun itu bagi saingan Moto2, Razlan berkata pihaknya masih dalam proses perbincangan dengan para penaja dan yakin perjanjian dapat dimeterai pada akhir bulan ini.....