BERNAMA › NEWS




Asia Bangkit Luar Biasa Untuk Dahului Eropah


Last update: 13/01/2018


Pemain Malaysia yang mewakili pasukan Asia Gavin Green (kiri) berbual bersama rakan sepasukan Yuta Ikeda dari Jepun pada pusingan kedua Kejohanan Golf EurAsia 2018 di Glenmarie Golf and Country Club hari ini

SHAH ALAM, 13 Jan (Bernama) -- Pasukan Asia berjaya melakukan kebangkitan dramatik untuk mengekalkan status pendahulu selepas memenangi saingan fourball dengan keputusan 6 setengah - 5 setengah ke atas pasukan Eropah pada hari kedua Piala EurAsia 2018 di Glenmarie Golf & Country Club di sini, hari ini.

Tindakan ketua pasukan Asia, Arjun Atwal mengekalkan gandingan yang semakin serasi dianggap tepat dan ternyata berhasil apabila berjaya mempertahankan kelebihan satu mata sebelum melangkah ke peringkat akhir pusingan perseorangan yang menawarkan 12 mata esok.

Selepas mengekori pasukan Asia dengan keputusan 2 setengah - 3 setengah semalam , pasukan Eropah turun dengan gandingan baharu untuk mempertahankan gelaran apabila berjaya merangkul tiga mata pertama.

Gandingan Tommy Fleetwood/Henrik Stenson membuka tirai kutipan mata untuk pasukan Eropah apabila mengalahkan gandingan India, S.S.P. Chowrasia/Anirban Lahiri 3&2.

Gandingan Paul Casey/Tyrrell Hatton kemudian menambah mata kedua dengan mengatasi Kiradech Aphibarnrat/An Byeong-hun 2&1 sebelum Matthew Fitzpatrick/Thomas Pietrers menghadiahkan mata ketiga dengan mengalahkan Poom Saksansin/Kang Sung-hoon 3&2.....