BERNAMA › NEWS




Kumpulan Keselamatan Nelayan Nasional Tingkat Kecekapan Keselamatan Di Laut


Last update: 13/10/2017

KEMAMAN, 13 Okt (Bernama) -- Kumpulan Keselamatan Nelayan Nasional (Kesan) berkonsepkan kesukarelawanan yang dilancarkan hari ini bersempena Gelombang Nelayan Negara (GNN 2017) di Kuala Kerteh di sini akan dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan aktiviti keselamatan di kawasan nelayan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Kesan adalah gabungan antara Sukarelawan Perikanan (Super) di bawah Jabatan Perikanan dan Kumpulan Keselamatan Nelayan (Kukenal) di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang ditubuhkan beberapa tahun lepas.

"Kedua-dua kumpulan ini digabungkan untuk memantapkan dan meningkatkan sinergi kedua-dua pasukan," katanya selepas menyaksikan demonstrasi menyelamat melibatkan anggota Kesan, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) di sini hari ini.

Ahmad Shabery berkata penggabungan ini menyaksikan jumlah anggota sukarelawan dalam kalangan nelayan terus bertambah sehingga hampir 8,500 orang di seluruh negara yang mana ia satu jumlah besar dan agensi kerajaan lain akan melengkapkan lagi keupayaan kumpulan ini.

Beliau berkata gabungan sukarelawan itu adalah satu inisiatif kerajaan dalam membantu misi bencana alam atau misi menyelamat bagi kemalangan di laut dan di darat yang melibatkan masyarakat nelayan.

"Kita tidak mahu ada lagi tragedi yang berlaku disebabkan kelalaian atau lambat bagi bantuan. Kesan akan bekerjasama dengan jabatan dan agensi keselamatan lain untuk tujuan ini," katanya.

Ditanya sama ada anggota Kesan mendapat perlindungan insurans, beliau berkata jumlah caruman hanya RM100 setahun dengan jumlah perlindungan ditingkatkan kepada RM150,000 berbanding RM100,000 sebelum ini.

"Caruman RM100 ini dipotong daripada elaun sara hidup yang diterima nelayan dan bagi nelayan yang tidak menerima elaun itu, mereka digalakkan membuat caruman sendiri untuk menikmati skim perlindungan itu," katanya.

Terdahulu, Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman turut menyampaikan replika cek sebanyak RM138,000 kepada 20 peserta yang terlibat dalam program Jaya Diri Kemaman untuk perniagaan.

-- BERNAMA