GENERAL › NEWS





11 Orang Asli Ditahan Kerana Halang Tugas Renjer


Last update: 13/08/2017

GERIK, 13 Ogos (Bernama) -- Seramai 11 Orang Asli ditahan kerana menghalang anggota Renjer Pejabat Hutan menjalankan tugas di Hutan Simpan Piah, Sungai Siput dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Ismail Che Isa berkata semua Orang Asli berkenaan ditahan kira-kira pukul 2.10 petang oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik dan dibantu oleh Pasukan Pejabat Renjer Hutan Lasah.

"Bertindak atas maklumat daripada Op Cantas/Kesan, pasukan berkenaan telah melakukan serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Terai, Pos Piah, Lasah di Sungai Siput (U) dan menangkap semua 11 Orang Asli itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata semua mereka ditahan kerana dipercayai menghalang tugas sepasukan anggota renjer Pejabat Perhutanan Hutan Lasah yang sedang membuat penandaan pokok di hutan berkenaan.

Ismail berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Orang Asli berkenaan dibawa ke Mahkamah Majistret Taiping pagi tadi dan mendapat perintah tahanan reman dua hari bermula hari ini.....