DUNIA › BERITA





Turki Sifatkan Resolusi Hak Asasi Manusia Diterima Pakai EP 'Batal, Tidak Sah'


Tarikh kemaskini: 09/02/2018

ANKARA, 9 Feb (Bernama) -- Turki telah menolak satu resolusi yang diterima pakai oleh Parlimen Eropah (EP) berhubung rekod hak asasi manusia negara itu serta menyifatkannya sebagai "batal dan tidak sah," lapor agensi berita China Xinhua.

Kementerian Luar Turki pada Khamis berkata resolusi itu gagal memahami keadaan semasa yang dihadapi oleh negara itu.

"Langkah-Langkah yang diambil semasa keadaan darurat telah dilakukan mengikut undang-undang dan mematuhi tanggungjawab antarabangsa kami."

"Komitmen dan penumpuan Turki bagi memerangi keganasan menunjukkan bahawa beberapa elemen dalam EP gagal memahami kepentingan perjuangan ini untuk Eropah," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Pada Khamis, EP telah menerima pakai satu resolusi bertajuk "Situasi Semasa Hak Asasi Manusia di Turki," menyasarkan kebebasan akhbar dan keadaan darurat yang diisytihar selepas kegagalan satu rampasan kuasa pada 15 Julai 2016.

-- BERNAMA

.....