DUNIA › BERITA





Jualan Telefon Pintar, Apple Dijangka Atasi Samsung


Tarikh kemaskini: 10/11/2017

SEOUL, 10 Nov (Bernama) -- Gergasi teknologi Amerika Syarikat, Apple Inc bersedia untuk mengatasi Samsung Electronics Co dalam pasaran global telefon pintar pada suku keempat, dengan dibantu oleh prestasi iPhone X, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

Menurut data dikumpulkan pemerhati industri TrendForce, Apple dijangka akan menguasai 19.1 peratus pasaran dalam tempoh Oktober hingga Disember, lebih tinggi daripada jangkaan Samsung iaitu sebanyak 18.2 peratus.

Samsung mengekalkan kedudukan teratas pada suku sebelumnya, dengan mencatatkan 21.1 peratus diikuti Apple sebanyak 11.5 peratus.

"Pada suku ketiga, pengeluaran telefon pintar Samsung meningkat berikutan pengeluaran model Galaxy Note 8 dan kekukuhan jualan Galaxy J, yang berterusan meskipun pasaran berada pada paras sederhana dan rendah.

"Samsung dijangka mengurangkan skala pengeluaran model mewahnya pada suku keempat, kerana model berkenaan dilihat mendapat tekanan lantaran permintaan kukuh keluaran terbaharu iPhone," kata TrendForce.....