DUNIA › BERITA





Turki Tahan 101 Suspek Militan Daesh Di Ankara


Tarikh kemaskini: 09/11/2017

ANKARA, 9 Nov (Bernama) -- Polis Turki telah menahan sejumlah 101 suspek militan kumpulan Daesh di ibu negara Ankara pada awal hari Khamis, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan media tempatan Daily Sabah.

Menurut akhbar harian tersebut, operasi antikeganasan yang dilakukan oleh pejabat Pendakwa Raya Ankara dengan kekuatan 1,500 anggota polis itu, turut mengeluarkan waran tangkap terhadap 245 suspek.

Polis dilaporkan telah menjalankan serbuan di 240 alamat berbeza di Ankara dan menyita peralatan digital serta barangan lain yang dimiliki kumpulan Daesh.

Selain itu, polis telah melancarkan operasi anti-Daesh di 25 wilayah di seluruh Turki antara 22 Okt dan 1 Nov, menahan 283 militan Daesh serta merampas sejumlah 66 bahan letupan yang telah diubah suai dan beberapa senjata lain.

Turki telah mengalami beberapa serangan maut yang meragut nyawa lebih 300 orang sejak 2015, dan kerajaan menyalahkan kumpulan Daesh sebagai perancangnya.....