DUNIA › BERITA





4 Maut, 18 Hilang, Banjir Lumpur Di Colombia


Tarikh kemaskini: 09/11/2017

BOGOTA, 9 Nov (BERNAMA-NNN-XINHUA) -- Sekurang-kurangnya empat orang maut dan 28 cedera, manakala 18 lagi masih hilang, selepas banjir lumpur melanda bandar Corinto di Cauca Department, barat daya Colombia, menurut pihak berkuasa tempatan pada Rabu.

Gabenor Cauca Department, Oscar Campo berkata, banjir lumpur yang berlaku pada Selasa itu, dicetuskan oleh hujan lebat, yang menyebabkan air sungai La Paila melimpah.

"Anggota pasukan kecemasan bersama tentera, polis dan Palang Merah berada di lokasi kejadian, untuk mencari mangsa yang masih hilang dan membantu penduduk terjejas," kata Campo kepada pihak media.

Sementara itu, Presiden Colombia, Juan Manuel Santos menerusi twitternya, mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan menasihatkan penduduk mematuhi arahan pihak berkuasa.

Tambah beliau, "bantuan segera telah dilancarkan termasuk bantuan kemanusiaan dan langkah-langkah pencegahan awal serta pemulihan."

--BERNAMA-NNN-XINHUA .....