DUNIA › BERITA





New Zealand Lanjut Tempoh Cuti Jaga Anak Selama 26 Minggu


Tarikh kemaskini: 06/11/2017

WELLINGTON, 6 Nov (Bernama) -- Menjelang 2020, ibu bapa di New Zealand bakal menikmati cuti menjaga anak bergaji penuh selama 26 minggu, sebagai sebahagian daripada janji kerajaan untuk menyokong keluarga yang mempunyai bayi baharu lahir dan anak-anak masih kecil, lapor agensi berita Xinhua.

"Kabinet hari ini memutuskan untuk menambah tempoh cuti ibu bapa menjaga anak kepada 22 minggu mulai 1 Julai 2018 dan akan melanjutkannya lagi kepada 26 minggu mulai 1 Julai, 2020," kata Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern.

Beliau berkata, langkah yang merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan di bawah Pakej Keluarga itu, turut menerima sokongan pihak lain, kerana ia sememangnya wajar dilaksanakan.

Menurut beliau, kehidupan kanak-kanak perlu dimulakan dengan cara terbaik kerana bukti telah menunjukkan, jika ibu bapa mempunyai masa lebih lama bersama anak-anak di rumah, ia memberikan manfaat besar terhadap perkembangan mereka.

Sebanyak 28,000 ibu bapa di New Zealand kini menikmati menjaga anak selama 18 minggu dan jumlah itu dilihat antara yang paling rendah dalam Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), katanya.....