DUNIA › BERITA





NGO Turki Gesa Bantuan Untuk Golongan Kanak-kanak Yatim Piatu Rohingya


Tarikh kemaskini: 06/11/2017

KOCAELI (Turki), 6 Nov (Bernama) -- Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berpangkalan di Istanbul menggesa kumpulan lain di Turki berganding bahu untuk membantu kanak-kanak Rohingya yang menjadi yatim piatu akibat keganasan di negeri Rakhine, Myanmar, lapor Agensi Berita Anadolu.

Bercakap pada satu acara yang dinamakan "The Rakhine State Awaits Help" di Kocaeli, barat laut Turki, Ismail Yilmaz, pemimpin Persatuan Solidariti dan Kebebasan Mavi Marmara, berkata: "Marilah kita mendirikan kem-kem untuk kesemua kanak-kanak ini dan menerima mereka di sana."

"Sebahagian daripada sejumlah 700,000 orang Islam Rohingya yang lari ke Bangladesh, 350,000 adalah kanak-kanak," katanya.

"Kira-Kira 30,000 daripada mereka adalah yatim piatu. Hampir 15,000 daripada mereka tidak ditemani sesiapa. Kita patut menjaga mereka," katanya.

Keluarga Rohingya masih menyeberangi Sungai Naf untuk memasuki Bangladesh bagi melarikan diri daripada apa yang disifatkan oleh pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai 'pembersihan etnik' oleh pihak tentera.

Turki berada di barisan hadapan dalam menyediakan bantuan kepada pelarian Rohingya, dan Presiden Recep Tayyip Erdogan telah membangkitkan isu itu di PBB.....