SUKAN › BERITA





Cabaran Berbasikal Pulau Indah 180 Dibatalkan


Tarikh kemaskini: 14/01/2018


PELABUHAN KLANG, 14 Jan (Bernama) -- Acara lumba basikal Cabaran Pulau Indah 180 Malaysia 2018 anjuran Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB) yang sepatutnya berlangsung hari ini dibatalkan pada saat akhir atas faktor keselamatan.

Ketua Pegawai Eksekutif CSSB Datuk Mahmud Abbas berkata keputusan itu terpaksa diambil berikutan tidak mendapat sokongan daripada pihak polis bagi mengawal trafik sepanjang cara berlangsung.

"Pihak kami dapat tahu mengenai keputusan pihak polis pada kira-kira 5 pagi tadi. Oleh itu CSSB sebagai penganjur membuat keputusan untuk membatalkan acara lumba basikal ini atas alasan keselamatan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Mahmud, acara itu yang masuk edisi ketiga sebaliknya ditukar kepada kayuhan santai sejauh 80 kilometer (km) dan penganjur turut memberi jaminan yuran penyertaan semua peserta akan dikembalikan.

Seramai 1,000 peserta tempatan dan antarabangsa telah mendaftar bagi menyertai acara lumba basikal sejauh 180 km berkenaan yang bermula di ibu pejabat CSSB di Pulau Indah dan mencakupi sebahagian kawasan di Selangor.

Yuran sebanyak RM130 dikenakan bagi peserta acara individu dan RM1,300 bagi acara berkumpulan.

Mahmud berkata pihaknya dalam usaha mendapatkan penjelasan pihak polis berhubung isu tersebut memandangkan semua syarat keselamatan telah dipenuhi selain mendapat kebenaran Pesuruhjaya Sukan.

Sementara itu, seorang peserta dari Brunei Darussalam, Raziman Ahmad, 41 berkata beliau dan pasukannya berasa sedikit kecewa apabila mendapat tahu acara berkenaan dibatalkan kerana pasukannya telah melakukan pelbagai persiapan termasuk membawa masuk seorang pelumba basikal dari Terengganu.

"Ini kali kedua kami ikut acara ini, kali pertama pada 2016 dan pasukan kami mendapat tempat kelima. Untuk edisi kali ini, dengan persiapan yang kami lakukan, saya yakin pasukan kami boleh mendapat podium," katanya.

Pembatalan acara itu turut mengecewakan peserta tempatan, Sharifah Nur Ilyana Syed Zulkifli yang berkata program berkenaan penting sebagai persiapan untuknya menghadapi Sukan Malaysia Perak 2018 pada September ini.

Beliau yang akan mewakili Terengganu bagi acara lumba basikal jalan raya pada temasya itu, berkata acara hari ini sepatutnya menjadi platform untuknya membaiki kelemahan selain mengenal pasti kekuatan kayuhannya.

-- BERNAMA