SUKAN › BERITA





BAM Sambut Baik Keputusan Barisan Atlet Program Podium Baharu


Tarikh kemaskini: 10/11/2017

PUTRAJAYA, 10 Nov (Bernama) -- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyambut baik pengumuman senarai baharu atlet Program Podium 2018 meskipun penambahan tujuh nama pemain yang dicadangkan badan induk badminton itu tidak terpilih.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata keputusan itu diterima dengan hati terbuka dan tujuh pemain tidak terpilih itu tetap akan mendapat sokongan penuh dalam apa jua bentuk yang mereka perlukan.

Beliau berkata antara bentuk sokongan akan disediakan BAM sendiri adalah meliputi segenap aspek berkaitan perkhidmatan sains sukan serta penglibatan pada kejohanan-kejohanan utama dunia.

"Kalau itu keputusan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kita terima keputusan tersebut dengan hati terbuka kerana sebagaimana kita tahu, di samping 12 pemain badminton negara yang kekal di bawah Program Podium, pemain lain, kita akan pastikan mereka turut mendapat sokongan yang diperlukan.

"Mereka akan mendapat bantuan terutamanya melibatkan perkhidmatan sains sukan dan penglibatan di kejohanan-kejohanan besar dunia. Seperti saya umumkan baru-baru ini, pemain menduduki ranking 1 hingga 72 dunia akan kita beri pendedahan 12 kejohanan dan mereka di kedudukan 73 ke atas, hanya diberikan 10 kejohanan," katanya.....