SUKAN › BERITA





Ong-Teo Ketuai Cabaran Malaysia Ke Pusingan Kedua Terbuka Korea


Tarikh kemaskini: 14/09/2017

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Pasangan beregu kedua negara, Ong Yew Sin/Teo Ee Yi mengetuai cabaran negara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Korea di Seoul, Korea Selatan hari ini.

Pasangan bukan pilihan itu, bagaimanapun, terpaksa bekerja keras sebelum menundukkan pasangan dari England Marcus Ellis/Chris Langridge 21-14 dan 22-20 pada aksi pembukaan kejohanan itu di SK Handball Stadium, menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF):www.bwfworldsuperseries.com.

Bekas pemain kebangsaan, Tan Boon Heong yang bergandingan dengan bekas juara Olimpik, Hendra Setiawan dari Indonesia juga mara ke pusingan seterusnya selepas menewaskan beregu muda dari China, Han Chengkai/Zhou Haodong 21-12 dan 21-19.

Seorang lagi bekas pemain antarabangsa, Lim Khim Wah yang berpasangan dengan bekas juara Olimpik, Yoo Yeon Seong (Korea Selatan) buat kali pertama menampilkan aksi menarik sebelum tumpas 22-20, 13-21 dan 20-22 kepada pasangan dari Jepun, Takuro Hoki/Yugo Kobayashi.

Dalam acara beregu wanita, Soong Fie Cho/Tee Jing Yi terpaksa diheret ke rubber-set sebelum menumpaskan pasangan dari India, Ashwini Ponnappa/Reddy N. Sikki 19-21, 21-13 dan 21-17.....