•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




APG KL2017 Meraikan Tekad Dan Semangat Kemanusiaan - Khairy



KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Sukan Para ASEAN bukan sekadar suatu pertandingan sebaliknya ia temasya bagi meraikan tekad dan semangat kemanusiaan, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata dengan impak tinggi kalangan atlet para, beliau berharap Sukan Para ASEAN Ke-9 menjadi satu lagi lembaran gemilang dalam meraikan semangat kemanusiaan di seluruh Asia Tenggara.

Khairy berkata atlet-atlet yang dihargai dan diraikan pada perasmian temasya itu malam ini adalah amat luar biasa dengan kisah tentang cabaran dan pengorbanan yang tidak dapat digambarkan.

"Kecekalan dan kesungguhan dapat menewaskan kegagalan. Ketabahan memaksa anda melangkaui had yang anda sendiri tidak tahu kewujudannya. Kebebasan yang muncul daripada membebaskan diri daripada sekatan fizikal dan melonjak ke tahap yang sebelum ini tidak dapat dibayangkan.

"Mereka menunjukkan kepada kita bahawa tiada apa yang mustahil. Mereka bukan sahaja memberi inspirasi kepada orang kurang upaya lain malah kepada kita semua. Mereka mengingatkan kita bahawa walaupun kita tidak dapat mengawal keadaan masa lampau, kita boleh merencanakan masa depan kita sendiri," katanya ketika berucap pada perasmian temasya itu di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Temasya itu, yang berlangsung sehingga 23 Sept, dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Seramai 1,421 atlet dari 11 negara iaitu Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Brunei Darussalam, Vietnam, Laos, Myanmar, Kemboja, Timor Leste dan tuan rumah, Malaysia.

Sebanyak 368 pingat emas dipertandingkan dalam 16 acara sukan, bilangan yang tertinggi yang pernah dipertandingkan dalam temasya itu.

Khairy turut mengimbas pencapaian cemerlang memenangi emas oleh atlet para Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy), Muhammad Ziyad Zolkefli melalui acara lontar peluru F20 lelaki (masalah pembelajaran) dan Abdul Latif Romly melalui acara lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran) pada Sukan Paralimpik Rio 2016.

Beliau berkata kisah ketiga-tiga atlet itu menjadi legenda moden negara apabila mereka mengatasi segala halangan untuk bergelar juara dunia.

"Bagaimana sukan para, yang kurang dipandang, kini menjadi tumpuan orang ramai. Bagaimana atlet para tidak lagi dilihat sekadar atlet kurang upaya atau atlet biasa tetapi atlet dan insan yang amat luar biasa.

"Malam ini kita raikan mereka, bukan hanya yang sudah mencipta nama tetapi juga yang baru mengorak langkah untuk mengukir kejayaan. Usaha atlet para mengatasi kekangan fizikal atau intelektual yang mengingatkan kita bahawa tiada apa yang boleh menghalang untuk capai kejayaan," katanya.

-- BERNAMA