•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Nur Azlia Syafinaz Tidak Kesal Tinggalkan Sukan Olahraga



NILAI, 17 Sept (Bernama) -- Pelumba negara, Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais tidak menyesal membuat keputusan untuk meninggalkan sukan olahraga yang diceburi sejak kecil bagi mewakili negara dalam acara berbasikal pada Sukan Para ASEAN Kesembilan (APG) Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Malah, keputusan menerima tawaran untuk bertanding dalam acara berbasikal ternyata membuahkan hasil yang lumayan apabila menyumbang dua pingat emas walaupun membuat penampilan sulung di temasya dwitahunan itu.

Katanya, secara peribadi, beliau tidak menyasarkan sebarang pingat pada penampilan pertama kalinya kerana merasakan tempoh latihan yang agak singkat selepas menerima tawaran untuk menukar acara sukan pada bulan Mei lepas.

"Saya gementar sebab ini kali pertama saya bertanding dalam sukan berbasikal dan hanya menjalani latihan selama tiga bulan sahaja," kata atlet berusia 19 tahun itu.

Nur Azlia Syafinaz, yang juga anak kedua daripada empat adik beradik. bertanding dalam kategori (B) iaitu cacat penglihatan, mengalami kecacatan sejak kecil dan pernah menerima pendidikan di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Alma di Bukit Mertajam.

Atlet kelahiran Butterworth, Pulau Pinang itu meraih pingat emas dalam acara pecut (B) dan Kilometer (B) wanita bersama jurumudinya Noraidillina Adila J.Sam.

Dalam acara pecut (B) wanita, Nur Azlia Syafinaz menyingkirkan pelumba Singapura, Emily Lee dengan jurumudinya Sarah Tan Hui Zhen, 2-0 pada peringkat akhir.

Terdahulu, pelumba genit itu merekod masa 13.264 saat untuk mara ke pusingan separuh akhir sebelum mengetepikan pelumba Singapura, Delia Kang 2-0, untuk mara ke akhir.

Sementara itu, jurumudi, Noraidillina Adila pula berkata dengan kemenangan hari ini, beliau berharap ia menjadi batu loncatan kepadanya dan juga Nur Azlia Syafinaz untuk meneruskan kerjaya dalam bidang sukan berbasikal negara.

"Mulanya saya digandingkan dengan Nur Syahida (Tajudin) tapi kemudiannya digandingkan dengan Syafinaz. Ia tidak menjadi masalah walaupun Syafinaz dari sukan lain cuma kita harus saling mempercayai untuk menjadi serasi," katanya.

Nur Azlia Syafinaz dan Noraidillina Adila akan bertanding dalam acara 3km kejar-mengejar individu esok.

-- BERNAMA