•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Siasatan Kes Mercun Pada Perlawanan Malaysia-Thailand Selesai - Polis


SHAH ALAM, 31 Ogos (Bernama) -- Polis telah melengkapkan siasatan berhubung kes letupan mercun pada perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 antara Malaysia dan Thailand di Stadium Shah Alam, tiga hari lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam DCP Shafien Mamat berkata kertas siasatan dijangka diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya minggu depan untuk tindakan lanjut.

Hari ini polis membebaskan pelajar lelaki berusia 16 tahun yang ditahan susulan kejadian itu selepas polis selesai mengambil keterangannya, kata Shafien ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan polis menahan remaja berkenaan ketika dia sedang beratur untuk keluar dari stadium selepas perlawanan yang menyaksikan Thailand mempertahankan pingat emas yang mereka menangi dua tahun lalu di Singapura.

Siasatan lanjut polis ke atas rumahnya di Klang pada keesokan hari menemukan 40 biji mercun yang belum digunakan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda sehingga RM10,000 jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA