•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




KL2017 Meninggalkan Legasi Utuh Buat Sukan Malaysia


Sukan SEA - Rumusan

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Sukan SEA Ke-29 akan tercatat dalam sejarah sukan Malaysia sebagai temasya paling disanjungi untuk tahun-tahun akan datang tatkala negara meraikan kejayaan muncul juara keseluruhan untuk kali kedua dalam tempoh hampir 60 tahun.

Kejayaan luar jangka memenangi 145 pingat emas hasil titik peluh dan perjuangan bermati-matian 844 atlet termasuk Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin sehingga perserta termuda, atlet sukan air berumur sembilan tahun Adam Yoong Hanifah, telah mengejutkan tuan rumah dan juga pencabar mereka.

Menggalas tanggungjawab untuk mencapai sasaran 111 pingat emas, atlet Malaysia tidak mengambil masa lama untuk melakukannya.

Berbekalkan sokongan padu penonton sendiri dan disemarakkan dengan tema Sukan SEA 'Bangkit Bersama', tidak disangsikan semua atlet berusaha keras sehingga berjaya mencapai sasaran itu dalam masa hanya seminggu berlangsungnya pertandingan bagi 404 acara daripada 38 sukan itu.

Pungutan 145 emas itu bukan yang terbanyak dalam sejarah temasya ini, ia adalah milik Thailand yang unggul dengan 183 emas daripada 43 sukan selaku tuan rumah edisi 2007, diikuti Indonesia dengan 182 emas daripada 44 sukan juga selaku tuan rumah pada 2011.

Ketua jurulatih terjun Malaysia Yang Zhuliang yakin Malaysia akan terus mempunyai masa depan bukan sahaja dalam Sukan SEA malah Olimpik yang atletnya telah membuktikan kehebatan pada temasya London 2012 dan Rio 2016.

Pasukan terjun menyapu bersih kesemua 13 pingat emas dengan melahirkan bintang muda seperti Jellson Jabillin , Gabriel Gilbert Daim dan Kimberly Bong.

Tanpa tekanan sepertimana beraksi dalam pertandingan peringkat dunia yang mereka telah mencipta nama, adalah sesuatu yang mengembirakan untuk menyaksikan juara dunia Cheong Jun Hoong dan pemenang pingat Olimpik Pandelela Rinong melaksanakan tugas mereka dengan tenang dan pada kelas tersendiri di Pusat Akuatik Nasional.

Pasukan berbasikal negara yang diterajui Azizulhasni Awang yang mengenakan jersi juara dunianya telah menggegarkan Velodrome Nasional di Nilai dengan memenangi 11 daripada 13 pingat emas termasuk dua daripada Azizulhasni yang mengungguli acara pecut dan keirin lelaki manakala pelumba wanita negara Fatehah Mustapa menuai dua emas masing-masing dalam acara individu dan berpasukan.

Temasya kali ini turut melahirkan pasukan terbaik dalam acara trek dan padang dalam tempoh sedekad diterajui Khairul Hafiz Jantan yang mengungguli acara pecut 100m untuk berdiri megah bersama-sama pemenang tiga emas dalam memanah, karate, boling, boling padang, luncur ais, wushu, silat, gimnastik artistik dan berirama, ski air, menembak, pelayaran dan terjun seirama.

Disebalik kekecewaan ditewaskan Thailand bagi pingat emas acara bola sepak lelaki, Malaysia mengalu-alukan kelahiran penyerang yang sebelum ini kurang dikenali N. Thanabalan yang melakar sejarah tersendiri pada penampilan pertama di Sukan SEA dengan menjaringkan empat gol dan satu gol pada saat-saat akhir untuk mengatasi Indonesia pada separuh akhir.

Bagi badminton, susulan kegagalan Malaysia pada Kejohanan Badminton Dunia Glasgow, Sukan SEA juga tidak membawa keceriaan seperti diidamkan apabila sekadar meraih satu pingat emas menerusi Goh Jin Wei dalam perseorangan wanita.

Jumlah pungutan pingat emas bagi negara-negara peserta yang lain turut mencatatkan penurunan ketara kecuali Kemboja dan Laos, jika nak dibandingkan dengan kejayaan Malaysia.

Thailand, juara keseluruhan di Singapura dua tahun lepas dengan 93 emas, hanya meraih 72 emas yang jelas mereka perlu berdepan dengan kebangkitan Vietnam yang berjaya merobekkan penguasaan mereka sebagai raja olahraga, selain turut unggul dalam beberapa acara lain juga.

Vietnam, yang akan menjadi tuan rumah edisi 2021, di tempat ketiga dengan 58 pingat emas dan 17 daripadanya dimenangi dalam acara trek dan padang. Juara muda mereka seperti ratu pecut Le Tu Chinh dan rakan sepasukannya Nguyen Thi Huyen dan diva renang Nuyen Thi Anh Vien jelas memberi isyarat bahawa mereka adalah pencabar yang perlu digeruni pada temasya akan datang.

Singapura, yang hanya berbeza satu pingat dengan Vietnam, seperti dijangka mengekalkan dominasi dalam acara renang dengan pemenang pingat Olimpik Joseph Schooling dan Quah Zheng Wen serta Quah Tin Wen meraih 19 pingat emas dan negara itu turut cemerlang dalam acara pelayaran di Langkawi dengan memenangi empat emas.

Indonesia pulang dengan 38 pingat emas berbanding 47 pada 2015 dan bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah Sukan Asia tahun depan.

Tatkala bendera sukan diserahkan kepada tuan rumah akan datang, Filipina, persoalan seterusnya adalah berapa banyak dan sukan apa yang akan dianjurkan di luar kawasan metro Manila pada 2019 susulan rungutan dan kritikan yang biasanya dilemparkan terhadap negara rumah yang menganjurkan sukan yang memihak kepada mereka.

Adalah tidak mengejutkan sekiranya Filipina turut mengambil langkah sama. Dengan pungutan pingat emas berkurangan kepada 24 di sini, separuh daripada yang mereka mahukan, Filipina pastinya mahu mengulangi kejayaan mereka pada 2005 semasa menjadi tuan rumah dan juara keseluruhan dengan 113 emas daripada penganjurkan 444 acara daripada 40 sukan.

Berdasarkan program 2005, wujud spekulasi bahawa sukan tradisional rakyat Filipina iaitu anis, sukan tarian, bola lisut dan perlumbaan perahu tradisional dikatakan akan disenaraikan pada 2019.

Namun yang penting kini masa untuk Malaysia meraikan kejayaannya.

-- BERNAMA