•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




KL2017 Menutup Tirai Tatkala Malaysia Meraikan Pencapaian Terbaik



Oleh Muin Abdul Majid

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) menutup tirai dalam kegembiraan Malaysia muncul juara keseluruhan dengan melakar pencapaian paling cemerlang dalam temasya dwitahunan itu dengan meraih 145 pingat emas, 92 pingat perak dan 86 pingat gangsa.

Menyertai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini malam ini untuk upacara penutupan ialah atlet dan pegawai daripada 11 negara yang mengambil bahagian dalam temasya itu yang bermula 19 Ogos.

Atlet Malaysia yang berjuang bermati-matian demi kegemilangan Sukan SEA ke-29 yang menyaksikan mereka mencapai sasaran 111 pingat emas pada Isnin sebelum menambah 34 lagi pada hari terakhir pertandingan hari ini, sebagai hadiah ulang tahun untuk Malaysia meraikan sambutan Hari Kebangsaan esok.

Thailand di tempat kedua dengan 72 emas, diikuti Vietnam 58, Singapura 57, Indonesia 38, Filipina 24, Myanmar tujuh, Kemboja tiga dan Laos dua. Brunei Darussalam pulang dengan lima pingat perak dan lapan gangsa, dan Timor Leste pula dengan tiga gangsa.

Filipina akan menjadi tuan rumah edisi ke-30 Sukan SEA pada 2019.

"Saya mengisytiharkan Sukan SEA KL secara rasminya ditutup dan saya menggesa belia negara-negara Asia Tenggara untuk berhimpun dua tahun dari sekarang di Filipina untuk memeriahkan Sukan SEA Ke-30.

Semoga mereka mempamerkan keceriaan dan kesepaduan supaya obor sukan diteruskan dengan keterujaan, keberanian dan penghormatan lebih tinggi demi manfaat manusia sepanjang zaman, kata Najib penuh ceria dan bersemangat semasa merasmikan penutupan KL2017 sambil disambut sorakan dan tepukan gemuruh hadirin yang memenuhi stadium dengan kapasiti hampir 100,000 orang, tepat pada pukul 10.12 malam ini.

Upacara penutupan rasmi itu yang disiarkan secara langsung, turut dihadiri isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Presiden Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar.

Khairy, selaku pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Ke-29 turut menerima anugerah khas daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) atas kejayaan penganjuran Sukan itu.

KL2017 adalah Sukan SEA keenam dianjurkan Malaysia selepas 1965, 1971, 1977, 1989 dan 2001.

Khidmat bakti ribuan sukarelawan KL2017 turut diberi pengiktirafan dan penghargaan pada upacara penutupan itu.

Malaysia turut menyerahkan tugas penganjuran Sukan SEA kepada Filipina dengan penyerahan bendera SEAGF kepada Alan Peter Cayetano, pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA 2019.

Upacara memadamkan obor KL2017 menimbulkan suasana penuh syahdu bagi lebih 7,000 atlet dan pegawai yang terlibat dalam 404 acara daripada 38 sukan yang disenaraikan dalam Sukan KL bertemakan Bangkit Bersama .

Upacara malam ini dimeriahkan dengan nyanyian, tarian dan persembahan kebudayaan.

-- BERNAMA