•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Malaysia Raih Perak Pada Acara Terakhir Angkat Berat


KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Skuad angkat berat negara menutup gelanggang temasya Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) hari ini dengan menghadiahkan pingat perak melalui kategori 85 kilogram (kg) oleh Mohamad Fazrul Azrie Mohdad.

Pada penampilan sulungnya dalam Sukan SEA, Mohamad Fazrul Azrie berjaya mengangkat bebanan keseluruhan 323 kg merangkumi 141 kg disiplin 'snatch' dan 182 kg disiplin 'clean & jerk'.

Pencapaian beliau dalam disiplin 'clean & jerk' juga berjaya memadam rekod kebangsaan yang diciptanya sendiri iaitu 181 kg di Sukan Perpaduan Islam di Baku, Azerbaijan pada Mei lepas.

Namun Mohamad Fazrul Azrie terkilan kerana gagal melakukan angkatan yang lebih baik pada disiplin 'snatch' berikutan kecederaan di lutut dan bahu.

'Ketika 'clean & jerk' saya nekad untuk memecahkan rekod kebangsaan yang saya pegang sendiri walau apa jua keadaan saya," katanya kepada pemberita pada acara terakhir KL2017 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MiTEC), hari ini.

Kejayaan pada hari ini juga menjadi pemangkin semangat untuknya menunjukkan aksi yang lebih baik dan memperoleh pingat pada Sukan Komanwel Gold Coast, Australia tahun depan.

Dalam pada itu pemenang pingat emas Pornchai Lobsi dari Thailand berjaya mengangkat bebanan keseluruhan 337 kg merangkumi 146 kg bagi 'snatch' dan 191 kg 'clean & jerk'.

Angkatan beliau pada 'clean & jerk' berjaya memadam rekod Sukan SEA iaitu 190 kg yang dipegang rakan senegara Pitaya Tibnoke pada 2013.

Pingat gangsa pula milik Hoang Tan Tai dari Vietnam dengan angkatan keseluruhan bebanan 322 kg (145 kg 'snatch' dan 177 kg 'clean & jerk').

-- BERNAMA