•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Penerjun Muda Tidak Mengecewakan - Jurulatih



Penerjun Malaysia Hanis Nazirul Jaya Surya (kiri) and Jellson Jabillin melakukan 'reverse dive' dalam terjunan platfom 10 meter seirama lelaki
KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Malaysia menyapu bersih 13 pingat emas yang dipertandingkan dalam sukan terjun apabila melabuhkan tirai hari ini.

Gandingan Hanis Nazirul Jaya Surya dan Jellson Jabillin melengkapkan kutipan emas acara terjun apabila mengungguli acara 10m platform seirama lelaki.

Penerjun negara itu mengumpul 384.12 mata untuk memastikan emas terakhir menjadi milik Malaysia.

Terdahulu, pasangan wanita negara Leong Mun Yee dan Traisy Vivien Anak Tukiet juga meraih emas selepas mengumpul 300.36 mata.

Secara keseluruhannya, ketua jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang sangat berpuas hati dengan prestasi skuad terjun negara khususnya penerjun muda yang membuat penampilan pertama di temasya Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Sebelum ini, jurulatih dari China itu, dikatakan membuat pertaruhan berani membariskan empat penerjun muda untuk menggalas cabaran negara di temasya dwitahunan itu.

Namun, berdasarkan pencapaian cemerlang itu, beliau menyimpulkan bahawa pertaruhannya tidak mengecewakan malah memberi keputusan yang di luar jangkaan.

"Seperti penerjun muda Kimberly Bong, saya rasa dia mempunyai kemahiran yang sangat baik begitu juga (Hanis) Nazirul.

"Untuk Sukan Olimpik yang akan datang, Malaysia mesti melahirkan penerjun pelapis. Bukan hanya Sukan SEA," katanya.

Menurut Zhuliang, barisan penerjun muda akan mengikuti latihan bersama skuad senior di China, selain akan mendedahkan mereka dengan kejohanan lebih besar untuk menimba pengalaman.

Empat muka baharu Kimberly dalam acara 10m platform individu wanita, Gabriel Gilbert Daim yang digandingkan dengan Pandelela Rinong dalam acara terjun berpasukan dan Jellson yang bergandingan dengan Hanis Nazirul.

Jellson juga digandingkan dengan Leong Mun Yee untuk acara 10m platform campuran seirama.

-- BERNAMA