•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Transformasi Sistem Jualan Tiket Perlawanan Bola Sepak Perlu Dilakukan


KUALA TERENGGANU, 30 Ogos (Bernama) -- Kelemahan sistem penjualan tiket perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) pada Isnin hingga menimbulkan kekecohan di Stadium Shah Alam, Selangor perlu dijadikan iktibar buat pihak yang berkaitan termasuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa berkata FAM sebagai badan induk utama sukan bola sepak negara perlu melakukan transformasi terhadap sistem penjualan tiket bagi memastikan kejadian sama tidak berulang terutama ketika perlawanan besar berlangsung.

"FAM perlu lakukan transformasi, bukan menjadikan sistem penjualan tiket perlawanan bola di takuk lama. Sepatutnya penjualan tiket perlu dilakukan secara online. Bila penyokong beli tiket online mereka boleh tebus tiket di kaunter tiket. Ini tak akan mengambil masa yang lama.

"Berbanding sekarang, penyokong dan peminat bola sepak terpaksa beratur panjang dan tunggu lama malah ada yang datang dari jauh, terpaksa berkhemah untuk datang awal ke stadium semata-mata untuk beli tiket.

"Kalau dapat tiket betul tak apa. Tapi saya dengar ada yang tak bernasib baik dapat tiket palsu. Ini berlaku sebab cara penjualan tiket yang sudah ketinggalan zaman," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Annuar mengulas mengenai kekecohan yang berlaku di Stadium Shah Alam kelmarin ekoran tiket yang diperuntukkan habis dijual dalam masa yang singkat.

Sebelum itu puluhan ribu penyokong tempatan sanggup beratur sepanjang lima kilometer pada dinihari semata-mata ingin membeli tiket bagi menyaksikan perlawanan akhir itu yang berlangsung semalam.

Bagaimanapun, kekecohan berlaku apabila ada segelintir penyokong yang merempuh dan memanjat kaunter tiket apabila penjualan tiket dihentikan 1 tengah hari.

FAM, bagaimanapun menerusi laman Facebook rasminya menafikan pihaknya bertanggungjawab di atas kepincangan sistem penjualan tiket berkenaan kerana telah menyerahkan tanggungjawab itu kepada Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Ketika ditanya cadangan agar dihapuskan pemberian tiket percuma kerana ia dikatakan antara punca kekecohan itu berlaku, Annuar berkata beliau tidak bersetuju dengan perkara tersebut kerana pihak yang mendapatkan tiket itu pun membayar harga tiket.

"Mereka bukan dapat percuma. Mereka ini adalah daripada kalangan penaja, pihak-pihak yang banyak menyumbang dan terlibat dalam sukan bola sepak. Tidak adil dihentikan kerana untuk dapat tiket ini mereka membayar dengan harga yang sama, bukan dapat percuma," katanya.

-- BERNAMA