•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




KL2017: Sejarah 2001 Berulang, Malaysia Kempunan Emas Bola Sepak



SHAH ALAM, 29 Ogos (Bernama) -- Episod duka Sukan SEA 2001 di venua sama berulang lagi apabila Malaysia gagal meraih pingat emas acara bola sepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di lselepas tewas 0-1 kepada Thailand pada final di Stadium Shah Alam, malam ini.

Lebih pahit, gol tunggal itu hadir pada minit ke-39 apabila penjaga gol negara, Muhammad Haziq Nadzli melakukan kesilapan tertumbuk bola sepakan penjuru Sasalak Haiprakhon ke gawang sendiri.

Kekalahan tersebut menyaksikan Malaysia gagal menamatkan penantian 28 tahun merangkul ibu segala pingat itu selaku tuan rumah selepas kali terakhir dikalungkan pingat emas di hadapan penyokong sendiri pada 1989.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee gagal menebus kekecewaan temasya sama pada tahun 2001 apabila Sarawut Treepan menjaringkan gol pada minit ke-87 untuk membantu Thailand merangkul emas di stadium yang sama.

Beraksi di hadapan hampir 80,000 penonton dan dalam keadaan hujan, skuad negara bawah 22 tahun (B-22) itu memulakan permainan dengan bergaya apabila berjaya memperoleh sepakan penjuru pertama seawal minit pertama apabila gerakan menarik penyerang, Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew berjaya dipatahkan pertahanan Thailand.

Empat minit berselang, Thailand mula menemui rentak permainan untuk melancarkan serangan berbahaya ke dalam kawasan kotak penalti negara sebelum ketua pasukan Chenrop Samphaodi dijatuhkan namun pengadil perlawanan meneruskan permainan.

Thailand hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-27 menerusi Phicha Au-Tra yang berjaya membuat tandukan tepat ke arah gawang negara, namun ketangkasan Muhammad Haziq menumbuk bola keluar berjaya menyelamatkan gawang negara.

Seminit kemudian, giliran pemain pertahanan Muhammad Irfan Zakaria muncul penyelamat selepas berjaya mengeluarkan bola di atas garisan gol yang membawa kepada gerakan solo menarik Muhamad Nor Azam Abdul Azih sebelum pemain Pahang itu melepaskan rembatan, namun sedikit tinggi melewati palang gol.

Bersambung babak kedua, Thailand dilihat lebih menguasai permainan dengan menggandakan asakan dalam usaha memburu gol kedua, namun gandingan mantap ketua pasukan Muhammad Adib Zainudin dan Adam Nor Azlin di bahagian pertahanan berjaya mengekang asakan Thailand.

Memasuki 20 minit terakhir, kemasukan beberapa pemain gantian dilihat memberi sedikit nafas baharu kepada barisan jentera serangan negara antaranya Muhammad Akhyar Abdul Rashid yang ternyata berjaya mengucar-kacirkan barisan pertahanan Thailand.

Menghampiri minit ke-90, serangan bertali arus untuk mencari gol penyamaan tidak menjelma dan Malaysia terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Meskipun kecewa, Kim Swee memuji persembahan cemerlang anak buahnya sepanjang kempen Sukan SEA di sini walaupun hanya menjalani latihan pusat untuk waktu yang singkat.

"Saya percya dengan barisan pemain muda yang berkaliber pada masa ini...kami berada di landasan yang betul untuk meningkatkan prestasi ke tahap yang lebih baik," katanya.

Beliau turut mengakui ketiadaan kumpulan penyokong tegar, Ultras Malaya di stadium telah memberi kesan besar kepada moral pemain.

Dalam pada itu, jurulatih Thailand, Worrawoot Srimaka turut memuji pemainnya yang menampilkan persembahan cemerlang sepanjang temasya itu di samping berjaya mempertahankan pingat emas.

"Saya bangga dengan prestasi pemain yang kebanyakannya membuat penampilan sulung pada Sukan SEA tetapi mereka bermain dengan baik dalam setiap perlawanan.

"Saya harap mereka akan meneruskan momentum ini pada Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di China, tahun depan," kata jurulatih berusia 45 tahun itu yang turut memenangi pingat emas sebagai pemain pada tiga Sukan SEA berturut-turut pada 1995, 1997 dan 1999.

Ditanya pasukan lawan yang amat sukar sekali pada kempen kali ini, beliau berkata setiap pasukan yang mereka temui pada saingan peringkat kumpulan memiliki kekuatan masing-masing tetapi pasukan yang paling sukar adalah Malaysia.

-- BERNAMA