•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Aifa Azman Bantu Pasukan Skuasy Negara Raih Emas



KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Pemain muda Aifa Azman muncul wira Malaysia dalam aksi final skuasy berpasukan wanita Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Pada perlawanan di Pusat Skuasy Nasional, Malaysia menang 2-1 ke atas Singapura untuk mempertahankan pingat emas yang diraih di Singapura, dua tahun lepas.

Malaysia ketinggalan 0-1 selepas Ooi Kah Yan kalah kepada Pamela Chua Ying Li 12-10, 4-11, 11-4, 7-11, 11-9.

Bagaimanapun Andrew Lee Jia Qi mengikat kedudukan 1-1 selepas menewaskan Mao Shihui 11-8, 11-6, 11-6, manakala Aifa menang ke atas Sneha Sivakumar 11-4, 11-6, 11-4.

Aifa, 15, berkata beliau agak gementar untuk beraksi sebaik sahaja Ooi Kah Yan yang terlebih dahulu beraksi, gagal memberi sebarang mata kepada pasukan negara.

"Saya rasa gementar tapi lepas itu cuba untuk bertenang sebelum masuk gelanggang. Saya hanya fikir saya perlu menang untuk pastikan pingat emas ini jadi milik Malaysia. Saya gembira kerana telah berjaya beri kemenangan kepada pasukan," katanya.

Bagi berpasukan lelaki pula, Malaysia terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa yang dikongsi dengan Indonesia manakala pingat emas dan perak masing-masing menjadi milik Singapura dan Filipina.

-- BERNAMA