•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Mun Yee, Jellson Raih Emas Acara Campuran Seirama



KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Gandingan baharu Leong Mun Yee-Jellson Jabillin memenangi emas dalam acara 10m platform campuran seirama Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Pusat Akuatik Nasional hari ini.

Gandingan senior-junior itu mempamerkan aksi mengagumkan biarpun hanya menjalani latihan beberapa bulan sebelum Sukan SEA dengan mengumpul 74.88 mata pada terjunan terakhir untuk menduduki tempat pertama carta empat pasangan yang bertanding dalam acara itu.

"Ini kali pertama saya terjun bergandingan dengan Mun Yee.. dulu hanya lihat dia dalam televisyen sahaja. Saya gembira dapat bergandingan dengan Mun Yee. Dia suruh saya tenang, buat seperti dalam latihan dan jangan takut," kata penerjun berumur 16 tahun itu.

Sementara itu, Ahmad Amsyar Azman meraih pingat emas keduanya selepas mengungguli acara 3m papan anjal seirama lelaki bergandingan dengan Chew Yiwei.

Kedua-dua penerjun mempamerkan terjunan yang cantik dan kemas untuk mencatatkan mata konsisten 49.20, 51.60, 63.90, 73.44, 75.33 dan 85.68 dalam acara enam terjunan itu.

Yiwei berkata prestasinya telah bertambah baik selepas penyertaan terakhir di kejohanan dunia di Budapest.

Gandingan Singapura Mark Lee Han Ming-Timothy Lee Han Kuan meraih pingat perak dengan mengumpul 368.73 mata manakala pingat gangsa menjadi milik Adityo Restu Putra-Tri Anggoro daripada Indonesia dengan mengumpul 326.40 mata.

Malaysia setakat ini telah memenangi 11 daripada 13 pingat emas yang disasarkan dalam acara terjun.

Pasukan terjun negara akan bersaing dalam acara 10m platform seirama lelaki dan wanita esok sebelum temasya menutup tirai secara rasminya.

-- BERNAMA