•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Skuad Hoki Lelaki Negara Kekal Juara Sukan SEA Sejak 1975



KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Skuad hoki lelaki membelasah Myanmar 14-0 untuk mempertahankan pingat emas buat kali ke-16 dalam aksi perlawanan final Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Dalam sejarah penampilan skuad lelaki negara dalam temasya dwitahunan itu, Malaysia hanya sekali gagal memenangi emas selepas kalah kepada tuan rumah Singapura pada edisi kedua acara itu dipertandingkan pada 1973.

Dua tahun kemudian di Bangkok, Malaysia merampas kejuaraan itu dan mempertahankannya sehingga edisi ke-29 di sini,

Myanmar, yang menghuni ranking ke-89 dunia berbanding 12 oleh Malaysia, ternyata bukan tandingan pasukan tuan rumah apabila ketinggalan 5-0 pada babak pertama sebelum anak buah Stephen Van Huizen menambah sembilan lagi gol pada babak kedua perlawanan.

Perlawanan, bagaimanapun dihentikan kira-kira 30 minit selepas tamat suku pertama perlawanan ekoran hujan lebat.

Kemenangan itu membolehkan Malaysia mempertahankan kejuaraan dan Myanmar buat pertama kali memperoleh pingat perak, manakala Singapura meraih gangsa selepas menundukkan Thailand 2-1 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Sementara itu, Van Huizen berkata anak buahnya akan diberi rehat selama dua minggu sebelum kembali berlatih bagi menghadapi Kejohanan Piala Asia 2017 di Dhaka, Oktober ini.

Juara Piala Asia akan layak ke Piala Dunia di India tahun depan.

Berikutan Malaysia sudah pun layak ke Piala Dunia, Van Huizen berkata beliau akan menggunakan peluang di Dhaka untuk menguji beberapa pemain muda pada kejohanan itu.

-- BERNAMA