•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Muhammad Fauzi Pernah Dipukul Ibu, Enggan Ikuti Latihan



Oleh Hasnah Jusid

LANGKAWI, 29 Ogos (Bernama) -- Siapa sangka, atlet pelayaran negara yang menyumbang emas untuk kem Malaysia hari ini, melalui kategori Optimist Boys, Muhammad Fauzi Kaman Shah pernah dipukul ibunya, hanya kerana tidak berminat dengan sukan tersebut.

Hasni Muhammad, 57, berkata, memori itu masih tersimpan kemas sehingga sekarang, ketika itu dia bekerja sebagai tukang masak di Kompleks Sukan Perahu Layar Kebangsaan di sini selama tiga tahun bermula 2007.

Katanya, kesusahan hidup suatu masa dahulu ditambah dengan statusnya sebagaiibu tunggal memaksa dia membawa anak bongsunya yang baru berusia empat tahun ketika itu untuk mengikutinya ke tempat kerja.

"Dulu Muhammad Fauzi memang tidak berminat dengan sukan pelayaran, saya kadang-kadang terpaksa memukul (untuk tujuan mengajar) dan memarahinya untuk dia turut mengikuti latihan di kompleks ini memandangkan saya memang membawanya setiap hari ke sini kerana bekerja.

"Saya juga pernah mengugut anak saya ketika itu untuk menghantarnya ke Baling sekiranya dia masih tidak mahu menyertai sukan pelayaran...dia memang tidak mahu ke Baling kerana tidak mahu berjauhan dengan saya," kata ibu kepada dua pelayar negara ini, ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Bagaimanapun Hasni berkata, kesemua pengorbanan dan kesusahannya suatu ketika dahulu berbaloi, apabila dua anaknya kini semakin bersinar dalam sukan pelayaran dan sudah mengharumkan nama negara beberapa kali.

Sejak acara pelayaran membuka tirainya pada 21 Ogos lalu, kelibat Hasni sentiasa kelihatan seawal 8 pagi hinggalah perlumbaan tamat bagi memberikan sokongan buat Muhammad Fauzi, 15, dan seorang lagi anaknya yang juga pelayar negara, Ahmad Latif Khan Ali Sabri Khan, 22.

Hasni berkata, Muhammad Fauzi, menjadi saksi kesusahan hidupnya suatu masa dahulu, termasuk ketika rumahnya terbakar pada 2007 dan terpaksa tinggal di dewan selama tiga bulan, merupakan seorang anak yang sangat bertanggungjawab.

"Pernah dia (Muhammad Fauzi) menerima elaun pertama RM300 ketika mengikuti latihan, kemudian dia memberikan saya RM200 daripada jumlah itu untuk saya simpan...sebab dia kata di kompleks latihan ada makanan disediakan jadi dia tidak perlukan duit banyak," katanya yang tidak dapat menahan sebak.

Lebih mengharukan, Muhammad Fauzi turut berjanji mahu membawa ibunya ke Makkah sekiranya dia berjaya mengumpul wang yang cukup pada masa hadapan.

Sementara itu, Muhammad Fauzi ketika ditemui selepas memenangi pingat emas bagi kategori Optimist Lelaki hari ini berkata, tiada apa yang mampu membalas jasa ibunya yang selama ini begitu banyak berkorban untuk dirinya.

"Terima kasih tidak terhingga buat jurulatih, rakan sepasukan dan terutamanya ibu saya yang sentiasa menemani saya ketika menjalani latihan," katanya dan menambah, cukup gembira dan berbangga mengulangi kejayaan tersebut pada sukan SEA kali ini.



Pada Pada edisi 2015 di Singapura, anak kelahiran Langkawi itu turut menyumbang emas bagi kategori Optimist Lelaki dan Optimist Berpasukan.

-- BERNAMA