•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Malaysia Raih Emas Kejar-Mengejar Berpasukan Lelaki



NILAI, 29 Ogos (Bernama) -- Malaysia meraih pingat emas ketiga pada hari terakhir pertandingan berbasikal trek Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan memenangi acara Kejar-Mengejar Berpasukan di Velodrome Nasional di sini, hari ini.

Pasukan itu dibarisi Eiman Firdaus Mohd Zamri, Irwandie Lakasek, Mohd Nur Aiman Mohd Zariff dan Mohd Afiq Huzni Othman memenangi emas dengan catatan masa 4 minit 13.159 saat.

Pemenang pingat emas acara kejar-mengejar individu Eiman Firdaus mengetuai pasukan melakukan kejutan dengan memintas pasukan Thailand yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak manakala Indonesia mengatasi Singapura untuk gangsa.

Dalam pusingan kelayakan, pelumba Malaysia mara ke final selepas merekodkan masa terpantas 4 minit 09.999 saat, memadamkan rekod kebangsaan mereka sebelum ini 4:14.359s yang dicatatkan pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di New Delhi, India.

-- BERNAMA