•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Pencak Silat Melepasi Sasaran, Pencapaian Terbaik Sukan SEA



KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Skuad pencak silat Malaysia melakar sejarah baharu, apabila mencatatkan prestasi terbaik dalam Sukan SEA selepas merangkul separuh daripada 20 pingat emas yang dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu kali ini.

Pencapaian 10 pingat emas, dua perak dan empat gangsa itu juga melepasi sasaran lapan pingat emas, empat perak dan enam gangsa yang ditetapkan oleh Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) untuk muncul juara keseluruhan pencak silat dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Vietnam menamatkan kempen di tempat kedua dengan kutipan tiga emas, tujuh perak dan dua gangsa, manakala Indonesia berada di tempat ketiga dengan dua emas, empat perak dan sembilan gangsa.

Pencapaian terbaik sebelum ini ialah ketika kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2001, iaitu kejayaan meraih lima emas, satu perak dan empat gangsa daripada 21 pingat emas yang dipertandingkan.

Bagi Setiausaha Agung Pesaka Datuk Megat Zulkarnain Omardin, kejayaan silat menjadi antara sukan yang paling banyak menyumbangkan pingat emas kepada kontinjen negara adalah kerana, kumpulan pesilat yang ada sekarang merupakan yang terbaik yang pernah dimiliki oleh persekutuan itu.

"Saya nak panjangkan rasa bersyukur kepada Allah SWT dan ucapkan tahniah kepada atlet, sebenarnya saya simpan ucapan tahniah ini lama. Saya tahu selama ini mereka marah kepada saya dan rasa terkilan kerana saya menyusun satu pelan latihan yang cukup tak boleh diterima atau tak masuk akal, tetapi akhirnya hari ini mereka tahu kenapa saya berbuat demikian.

"Kita bukan menang keenam-enam pingat emas silat seni, tetapi kita hanya menang tiga emas seni dan tujuh adalah dari silat olahraga. Saya berani letak sasaran tinggi kerana saya tahu inilah pasukan yang terbaik dan beri latihan luar biasa," katanya kepada pemberita.

Ditanya mengenai perancangan untuk Sukan Asia 2018 di Indonesia, beliau berkata perancangan akan dibuat selepas negara penganjur mengesahkan jumlah dan jenis acara yang akan dipertandingkan.

Pada hari terakhir pencak silat dipertandingkan di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini, Malaysia menguasai sukan tradisi itu apabila tujuh daripada lapan wakil negara pada final acara tanding berjaya merangkul emas selepas menewaskan lawan masing-masing.

Juara dunia Mohd Al Jufferi Jamari mempertahankan emas acara tanding kelas putra E (65-70kg) buat kali ketiga berturut-turut, manakala dua lagi juara dunia Razak Ghazali dan Siti Rahmah Mohamed Nasir masing-masing menyumbangkan emas dalam acara tanding kelas putra D (60-65kg) dan kelas puteri E(65-70kg).

Malaysia memulakan buruan emas hari ini menerusi Muhammad Fairuz Nasir dalam acara tanding kelas putra B (45-50kg), sebelum Siti Shazwana Ajak kelas puteri D (60-65kg), Mohd Fauzi Khalid kelas putra F (70-75kg) dan Muhammad Robial Sobri kelas putra H (80-85kg) menambah pungutan emas buat negara.

Malaysia berpeluang menambah emas dalam kelas putra J (90-95kg), tetapi wakil negara Mohd Khaizul Yaacob tewas 0-5 kepada Sheik Farhan Sheik Alau'ddin dari Singapura pada final petang ini.

Semalam, Muhammad Afifi Nordin merangkul emas acara silat seni tunggal putra, manakala pasangan Nur Syazreen A Malik-Nor Hamizah Abu Hassan meraih emas kategori seni ganda wanita pada Jumaat lalu, selepas Mohd Taqiyuddin Hamid dan Rosli Mohd Sharif merangkul emas dalam kategori seni ganda lelaki pada hari pertama pertandingan pencak silat KL2017.

Pada Sukan SEA lepas di Singapura, skuad silat negara menamatkan saingan di tempat ketiga selepas meraih tiga emas, dua perak dan tiga gangsa, daripada 13 pingat emas yang dipertandingkan.

-- BERNAMA