•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Skuad Taekwondo Gagai Capai Sasaran Empat Emas


KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Taekwondo Malaysia (TM) gagal menepati sasaran empat pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) selepas mengutip dua perak dan dua gangsa pada hari terakhir acara itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Pingat perak pertama diraih Nur Dhia Liyana Shaharuddin selepas tewas 39-1 kepada peserta Thailand, Panipak Wongpattanakit pada final kategori kyorugi bawah 49kg wanita.

Pingat gangsa pula disandang wakil Timor Leste, Ana Da Costa Da Silva Pinto Belo dan Dha Ysi Oo Julios dari Myanmar.

Malaysia turut mengumpul satu pingat perak menerusi Muhammad Iskandar Zulkanain Ahmad dalam kategori kyorugi bawah 58kg lelaki selepas dikalahkan oleh peserta Thailand Tawin Hanprab dengan 33-7 mata.

Dalam pada itu, Malaysia memperoleh dua gangsa melalui James Tee dan Nurul Nur Hafizzah Mahdi masing-masing menerusi kategori kyorugi bawah 63kg lelaki dan kyorugi bawah 73kg wanita.

Meskipun gagal mencapai sasaran, skuad taekwondo negara telah mencapai kejayaan membanggakan apabila mengumpul tiga emas, empat perak dan lima gangsa berbanding tiga perak dan tiga gangsa pada edisi lepas di Singapura, dua tahun lalu.

-- BERNAMA