•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




KL2017: Angkat Berat Sumbang Gangsa Acara 77kg


KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Malaysia hari ini beroleh pingat gangsa Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dalam acara angkat berat kategori 77 kilogram (kg) menerusi aksi Loro Wellkinson Peuji.

Penampilan sulung pada Sukan SEA itu menyaksikan Loro Wellkinson mengangkat bebanan keseluruhan seberat 295kg merangkumi 135kg dalam disiplin 'snatch' dan 160kg disiplin 'clean & jerk'.

Bagaimanapun, atlet berasal daripada Long Pasia, Sabah itu terkilan kerana gagal mengatasi rekod peribadi 171kg bagi disiplin 'clean & jerk' di Kejohanan Angkat Berat Asia di Tashkent, Uzbekistan tahun lepas.

"Pencapaian hari ini belum cukup bagus. Sepatutnya saya boleh lakukan lebih baik tetapi saya gementar di atas pentas tadi," katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MiTEC) hari ini.

Perlawanan itu menyaksikan Indonesia melalui I Ketut Ariana memenangi pingat emas selepas mengangkat bebanan keseluruhan 325 kg (147kg 'snatch' dan 178kg 'clean & jerk).

Pingat perak diraih Nguyen Hong Ngoc daripada Vietnam yang mencatat rekod bebanan keseluruhan 307kg (140kg dan 167kg).

Peserta Thailand, Chatuphum Chinnawong bagaimanapun terpaksa menarik diri pada disiplin 'clean & jerk' kerana cedera di bahu kiri ketika mengangkat bebanan bagi disiplin 'snatch'.

-- BERNAMA