•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Indonesia Raih Gangsa Selepas Atasi Myanmar 3-1



KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Indonesia bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Myanmar 3-1 untuk meraih pingat gangsa bola sepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, dekat sini, hari ini.

Keputusan itu mengulangi pencapaian gangsa diraih Indonesia pada tiga edisi terdahulu iaitu 1981 di Manila, 1989 di Kuala Lumpur dan 1999 di Brunei.

Pada aksi di Selayang, Myanmar bermula garang dengan melancarkan serangan bertali arus dan berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-21 menerusi jaringan penyerang Than Paing yang memanfaatkan hantaran daripada rakan sepasukan.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan selepas itu namun kedudukan jaringan kekal sehingga berakhirnya babak pertama perlawanan.

Sebaik sahaja perlawanan disambung, Indonesia pula menguasai perlawanan dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi percubaan Evan Dimas Darmono pada minit ke-56 yang terkena pemain pertahanan Myanmar sebelum memasuki gawang Myanmar.

Jaringan tersebut nyata menyemarakkan semangat pemain skuad Garuda Muda yang berjaya menambah gol kedua, selang dua minit kemudian menerusi percubaan cantik luar kotak penalti dari Septian David Maulana, sekali gus menceriakan lebih 2,000 penyokong mereka yang hadir menyaksikan perlawanan berkenaan.

Pemain gantian, Muhamad Rezaldi Hehanusa mengesahkan pingat gangsa untuk Indonesia juga menerusi percubaan menarik daripada luar kotak penalti pada minit ke-76 dan keputusan 3-1 itu kekal sehingga tiupan wisel oleh pengadil, Sudish Kumar Pandey dari Nepal.

Myanmar terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah pemain pertahanan Nan Wai Min mengutip kad kuning kedua pada masa kecederaan babak kedua perlawanan.

-- BERNAMA