•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Pemuda Tampil Kelainan Berbaju Melayu Sokong Pasukan Malaysia


SHAH ALAM, 29 Ogos (Bernama) -- Seorang penyokong bola sepak negara menampilkan kelainanan apabila lengkap berpakaian baju Melayu untuk menyaksikan perlawanan akhir bola sepak lelaki Sukan SEA ke-29 di sini, hari ini.

Gelagat pemuda berusia 20 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Zakuan itu ternyata mencuri tumpuan para penyokong yang hadir ke Stadium Shah Alam dalam perhitungan terakhir ibu segala pingat antara Malaysia dan Thailand malam ini.

Zakuan yang datang dari Cheras memberitahu Bernama bahawa beliau mahu mengekalkan tradisi berbaju Melayu ketika kebanyakan penyokong lain memakai jersi Harimau Malaya sambil mengharapkan tuah berpihak kepada pasukan negara malam ini.

"Saya harap Malaysia menang 3-0 malam ini," katanya yang hadir ke stadium bersama rakannya.

Sementara itu, seorang penyokong Thailand dikenali sebagai Nor Sahara, 30, yang datang bersama dua orang adik perempuannya berasa amat teruja dapat merasai suasana final bola sepak pada Sukan SEA kali ini.

Nor Sahara yang tiba di sini kira-kira 12 tengah hari tadi setelah menempuh perjalanan selama 12 jam dari Chiangmai, berharap kedua-dua pasukan mampu menjelmakan aksi terbaik malam ini.

Terdahulu, tinjauan Bernama mendapati penyokong mula membanjiri perkarangan stadium sejak 2 petang tadi sebelum pintu masuk stadium dibuka kira-kira 4.15 petang.

Malaysia mara ke perlawanan akhir setelah menundukkan Indonesia 1-0 manakala Thailand pula menewaskan Myanmar juga dengan keputusan sama pada aksi separuh akhir Sabtu lepas.

-- BERNAMA