•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Kilauan Emas Acara Trick Oleh Atlet Cilik Adam Yoong



PUTRAJAYA, 29 Ogos (Bernama) -- Atlet termuda Malaysia, Adam Yoong Hanifah, 9, terus menyinar apabila menghadiahkan emas keempat acara ski air dalam temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017).

Mengutip 3,860 mata dalam acara trick individu lelaki, beliau mengetepikan peserta Indonesia, Dimas Ridho Suprihono (3,440 mata) untuk merangkul emas manakala gangsa turut dimenangi atlet Indonesia, Fabrianto Kadir (3,140 mata).

"Saya sangat gembira memenangi acara ini. Saya memberikan yang terbaik...terima kasih atas sokongan semua dan saya akan teruskan melakukan yang terbaik pada masa depan," kata Adam kepada pemberita.

Sementara itu, ratu ski air negara, Aaliyah Yoong Hanifah, 14, turut menuai dua pingat emas hari ini dalam acara jump dan trick. Beliau merangkul emas acara keseluruhan wanita pada Sabtu.

Dalam acara jump, Aaliyah merekodkan 32.6m manakala dua atlet Indonesia, Rossi Amir (30.8m) meraih perak dan gangsa, Nur Alimah Priambodo (27.6m).

"Saya bukan pilihan untuk memenangi emas acara jump tetapi saya berjaya lakukan. Saya sungguh teruja kerana berjaya melakukan yang terbaik," katanya.

Bagi acara trick, Aaliyah merangkul kilauan emas meraih 5,880 mata, mengetepikan Sabelle Kee dari Singapura (3,450 mata) untuk perak dan atlet Indonesia Nur Alimah, gangsa selepas mencatatkan 3,380 mata.

Aaliyah juga meraih perak hari ini dalam kategori slalom wanita.

-- BERNAMA